Pas sedia bantu BN tawan Cameron Highlands
MARANG - Pas percaya calon dikemukakan BN dalam PRK Cameron Highlands pada 26 Januari nanti mampu meraih undi bagi membolehkan BN mengekalkan kerusi di Cameron Highlands.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan persetujuannya dengan calon dikemukakan iaitu bekas pegawai polis, Ramli Mohd Nor yang bukan dari Umno atau mana-mana parti komponen BN.
"Alhamdulillah kita setuju dengan calon yang dipilih. Beliau seorang pendakwah juga bekas pesara polis aktif dalam dakwah.
"Beliau juga daripada masyarakat Orang Asli dan merupakan calon yang sangat baik, malah kita akan bekerjasama," katanya ketika ditemui media selepas berakhirnya khuliah dhuha di Masjid Rusila, di sini, pagi ini.
Ahli Parlimen Marang itu bukan sahaja yakin dengan pencalonan yang dibuat malah memberi jaminan akan membantu BN untuk mengekalkan kerusi Cameron Highlands pada PRK berkenaan.
"Rakyat juga akan menilai Kerajaan PH. Walaupun dah sampai hampir setahun mengambil alih kerajaan, namun cuma berapa peratus janji yang ditunaikan.
"InsyaALLAH kita yakin (dengan calon)," katanya.
Terdahulu, kepimpinan MIC turut bersetuju dan memberi laluan kepada BN untuk memilih calon dan sekaligus menutup sebarang spekulasi soal kerusi tersebut dirampas Umno.
Dalam pada itu, PH yang sudah mengumumkan calonnya iaitu M Manogaran daripada parti DAP sebenarnya pernah bertanding dua kali di kawasan ini dan kalah kepada calon MIC.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!