PDRM tidak lantik ejen urus pemulangan wang ditipu sindiket

Ramli (dua dari kiri) ketika sidang akhbar di pejabat JSJK Bukit Aman pada Jumaat.
Ramli (dua dari kiri) ketika sidang akhbar di pejabat JSJK Bukit Aman pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak melantik mana-mana pihak untuk bertindak sebagai ejen bagi memulangkan semula wang mana-mana individu yang menjadi mangsa penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya mengesan terdapat taktik baharu digunakan sindiket dengan menyamar sebagai pihak berperanan membantu memulangkan wang mangsa yang ditipu.

Beliau berkata, perkara ini juga sama melibatkan mana-mana jumlah wang yang dipindahkan ke akaun lain.

"Kita mengesan kewujudan taktik sebegini yang mengambil kesempatan atas nasib yang menimpa mangsa, tipu atas tipu dan saya tegaskan tindakan tegas akan diambil berkaitan perkara ini.

"Tiada jalan pintas untuk perkara ini sama ada melalui ejen, badan bukan kerjaaan atau sebagainya, proses pemulangan wang hanya dilakukan pegawai penyiasat dengan pematuhan kepada peruntukan undang-undang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabat JSJK Bukit Aman pada Jumaat.

Katanya, PDRM telah mewujudkan tatacara tertentu kepada pegawai penyiasat untuk menyekat wang yang telah dipindahkan dengan cara perdayaan ke dalam akaun bank suspek.

"Wang berkenaan boleh diserah semula kepada mangsa melalui peruntukan undang-undang di bawah Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) Akta 593.

Artikel Berkaitan:

"Antara peruntukan yang diguna pakai adalah Seksyen 435 KTJ (bagi tujuan sitaan) dan Seksyen 413 KTJ (bagi permohonan pemulangan wang)," katanya.

Menurutnya, kesemua prosedur ini hanya boleh dilaksanakan oleh pegawai penyiasat sahaja, bukan mana-mana individu persendirian.

"Malahan, proses pemulangan wang kepada mangsa sebenarnya akan mengambil masa kerana mangsa akan dikehendaki hadir ke mahkamah bagi melengkapkan prosedur yang ditetapkan di bawah Seksyen 413 KTJ," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ramli berkata, seramai 11,000 mangsa penipuan dikesan tidak membuat laporan polis setelah menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

Beliau berkata, kegagalan membuat laporan polis menyebabkan wang yang disekat tidak dapat diproses dan tidak dapat dipulangkan kepada mangsa.

"Selain membuat panggilan berkenaan kes penipuan, mangsa juga perlu membuat laporan polis di balai polis berhampiran agar tindakan sekatan dan pemulangan wang dapat disempurnakan.

"Perkara ini seharusnya tidak berlaku, pengadu atau mangsa perlu bertanggungjawab untuk membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan susulan dijalankan dan masa sama mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa," ujarnya.

Katanya, NSRC ditubuhkan secara rasmi pada 12 Oktober 2022 berperanan menjejaki wang yang telah didepositkan ke akaun suspek.

"Selain itu, NSRC bertindak menyekat dan memulangkan semula wang tersebut kepada mangsa.

"Sejak penubuhannya sehingga Julai 2024, sejumlah lebih kurang RM46 juta telah berjaya ditahan oleh pihak NSRC dan daripada jumlah tersebut sebanyak RM510 ribu telah berjaya dipulangkan kepada mangsa penipuan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!