Masuk sukan lasak tapi hanya bawa kurta, 29 warga Pakistan dihantar pulang

Seramai 29 warga Pakistan dihantar pulang ke negara asal selepas ditolak kemasukan oleh Jabatan Imigresen Kedah. Foto: Jabatan Imigresen Kedah
Seramai 29 warga Pakistan dihantar pulang ke negara asal selepas ditolak kemasukan oleh Jabatan Imigresen Kedah. Foto: Jabatan Imigresen Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Jabatan Imigresen Malaysia Kedah menolak kemasukan 29 warga Pakistan yang tiba di kaunter pemeriksaan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada Khamis lepas setelah didapati mencurigakan apabila hanya membawa kurta untuk menyertai acara sukan lasak di Pulau Tuba.

Kumpulan ini terdiri daripada 28 lelaki dan seorang wanita dari kawasan pedalaman Pakistan dipercayai datang ke Pulau Langkawi untuk menyertai acara sukan lasak di Pulau Tuba pada 7 September 2024.

Pengarah Imigresen Negeri Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, hasil pemeriksaan mendapati kumpulan ini membelanjakan hampir RM2,000 untuk kos penerbangan dan perbelanjaan lain.

"Bagaimanapun, yuran penyertaan untuk acara sukan lasak terbabit hanya RM45 dan hadiah utamanya adalah RM300.

"Kumpulan ini hanya membawa kurta tanpa pakaian dan kasut sukan yang bersesuaian untuk acara tersebut," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook Jabatan Imigresen Kedah pada Jumaat.

Mohd Rizzuan mempersoalkan sama ada strategi untuk menyembunyikan motif sebenar mereka dan mengapa tidak dibawa pakaian yang bersesuaian.

Beliau menambah, modus operandi kumpulan ini adalah dengan menempah bilik di sebuah hotel bajet di Langkawi dan membeli tiket pulang ke Dubai sehari selepas acara dan yang menjadi persoalan mengapa meninggalkan Malaysia segera selepas acara.

"Kebiasaannya kebanyakan peserta yang menyertai sebarang program yang diadakan di Pulau Legenda ini akan mengambil kesempatan untuk melancong dan meneroka lokasi-lokasi menarik di sini sebelum kembali ke negara masing-masing," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, pihaknya mendapati penganjur acara sukan lasak turut mengesahkan tiada peserta asing lain yang mendaftar selain kumpulan ini.

"Disebabkan niat dan motif yang tidak munasabah ini, pegawai Imigresen di kaunter memutuskan untuk menolak kemasukan mereka di bawah Seksyen 8(3)(c) kerana disyaki bukan pelancong sebenar," katanya.

Beliau menegaskan, keputusan ini diambil untuk memastikan keselamatan dan integriti acara serta negara.

Sehubungan itu, katanya, kesemua 29 warganegara Pakistan ini telah dihantar pulang ke negara asal selepas diberikan notis penolakan masuk.

Mohd Rizzuan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan kemasukan pelawat yang tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini.

"Kami akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!