Sabah, KBS bincang cadangan anjur Sukan SEA 2027

Ellron Angin
Ellron Angin
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan Sabah akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai cadangan penganjuran bersama Sukan SEA 2027.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata, beliau akan bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh secepat mungkin bagi membincangkan serta mendapatkan maklumat terperinci mengenai perkara berkenaan.

“Hasil perbincangan dan maklumat terperinci yang diperoleh nanti akan kita bawa dan bentangkan kepada Jemaah Menteri (kerajaan Sabah) untuk pertimbangan selanjutnya.

“Ia (cadangan penganjur bersama) memerlukan persetujuan Jemaah Menteri dan kami (Jemaah Menteri) bersetuju untuk meneliti dan mempertimbangkan cadangan tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata, kerajaan Sabah menyambut baik hasrat kerajaan Persekutuan untuk menganjurkan Sukan SEA 2027 dan sedia bekerjasama bagi memastikan penganjuran temasya itu berjalan lancar.

Semalam, Hannah berkata persiapan penganjuran Sukan SEA 2027 tidak terjejas meskipun Sabah memutuskan mahu mempertimbangkan semula cadangan menjadi penganjur bersama temasya dwitahunan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!