Kawasan Jalan Masjid India masih selamat - Datuk Bandar KL

Maimunah menyampaikan ucapan pada Festival Amboi@TRX 2024 di Raintree Plaza TRX pada Jumaat. Foto Bernama
Maimunah menyampaikan ucapan pada Festival Amboi@TRX 2024 di Raintree Plaza TRX pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi jaminan keseluruhan kawasan di Jalan Masjid India di sini selamat untuk dikunjungi dan tiada gerai atau bangunan yang diarahkan untuk menutup operasi.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, ketika ini kawasan yang ditutup dengan penghadang hanya melibatkan laluan sepanjang kira-kira 200 meter dari Wisma Yakin ke pondok polis bagi memberi laluan kepada kerja pemulihan dan pembinaan di lokasi insiden tanah jerlus.

"Sepanjang kejadian itu kita tiada (arahan) menutup mana-mana gerai, cuma menutup sebahagian kawasan itu sahaja. Orang ramai masih boleh datang berkunjung mengikut laluan pejalan kaki.

"Kita juga telah berjumpa dengan persatuan peniaga di kawasan Jalan Masjid India semalam dan memberi pengesahan kawasan sekitar itu selamat, cuma dilarang menghampiri kawasan yang ditutup dengan penghadang sahaja,” katanya kepada Bernama selepas hadir merasmikan festival Amboi di TRX, pada Jumaat.

Pada 23 Ogos lalu, seorang wanita, G Vijaya Lakshmi, 48, dari Kuppam, Andhra, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India. Selepas sembilan hari, operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita itu dihentikan tanpa sebarang penemuan.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming dilaporkan berkata, insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India merupakan kes terpencil dan tidak seharusnya menggambarkan negara ini, khususnya Kuala Lumpur tidak selamat didiami.

Beliau berkata, struktur bangunan didirikan di negara ini adalah selamat mengikut standard yang tinggi dan pemetaan utiliti bawah tanah mengikut koridor utiliti negeri turut dijalankan sepanjang masa secara berfasa. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!