[VIDEO] Mara ambil tindakan tegas terhadap kontraktor dewan selera MRSM Taiping
SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mengenakan tindakan tegas dengan memberhentikan kontrak kontraktor dewan selera Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping yang didakwa sambil lewa mengenai kebersihan premis serta penyediaan makanan kepada pelajar.
Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, pihaknya juga akan mengheret kontraktor berkenaan ke mahkamah ekoran mencetuskan risiko kesihatan kepada penghuni institusi pendidikan tersebut.
"Kita boleh tahan ke kalau cicak nak berak? Jawab kontraktor dewan selera MRSM Taping dengan bongkak bila saya tanya kenapa dapur kotor dengan tahi cicak dan tidak dibersihkan.
"Memang 'confirm' (sah) saya akan ambil tindakan tegas termasuk memberhentikan kontrak dan tindakan mahkamah pada kontraktor yang ambil tindakan sambil lewa," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, menu makan malam yang ditetapkan dalam piawaian Mara didakwa tidak diikuti oleh pengusaha dewan selera MRSM Taiping, Perak.
Susulan itu, Asyraf Wajdi menerjah bagi meninjau keadaan penyediaan makanan berikutan seramai 31 pelajar mengalami keracunan sehingga dikejarkan ke hospital pada 30 Ogos lalu.
Dalam pada itu beliau turut mengarahkan Bahagian Undang-Undang Mara untuk mengambil tindakan perundangan terhadap kontraktor berkenaan selain menamatkan kontrak serta-merta.
Terdahulu, rata-rata komen ibu bapa di ruangan komen Facebook Asyraf Wajdi mendakwa penyediaan makanan kontraktor tidak mencapai kualiti ditetapkan, sekali gus mahu tindakan tegas terhadap pihak terlibat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!