Telegram jadi medium utama sindiket penipuan pelaburan

Telegram dikesan menjadi medium paling tinggi digunakan sindiket penipuan pelaburan dengan jumlah kerugian mencecah RM29.96 juta sejak Januari sehingga Ogos tahun ini. Gambar kecil: Ramli
Telegram dikesan menjadi medium paling tinggi digunakan sindiket penipuan pelaburan dengan jumlah kerugian mencecah RM29.96 juta sejak Januari sehingga Ogos tahun ini. Gambar kecil: Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Telegram dikesan menjadi medium paling tinggi digunakan sindiket penipuan pelaburan dengan 1,346 kes direkodkan serta kerugian mencecah RM29.96 juta sejak Januari sehingga Ogos tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 3,863 kes dikesan melibatkan 16 medium sejak 1 Januari hingga 31 Ogos lalu membabitkan kerugian kira-kira RM483.9 juta.

"Selain itu, medium lain diikuti Facebook dengan 948 kes (RM153.3 juta), WhatsApp dengan 873 kes (RM165.5 juta) dan Instagram dengan 146 kes (RM24.3 juta)

“Sebanyak 243 kes direkodkan untuk medium lain dengan kerugian RM165.2 juta, medium bersemuka sebanyak 96 kes dengan kerugian RM6.9 juta dan laman sesawang temu janji dengan 61 kes libatkan kerugian RM3.9 juta," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabat JSJK Bukit Aman pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ramli berkata, analisa dijalankan mendapati golongan wanita mencatatkan bilangan mangsa paling banyak ditipu.

"Angka mencatatkan seramai 2,124 wanita menjadi mangsa penipuan dengan kerugian RM315.3 juta manakala lelaki merekodkan 1,740 mangsa dengan jumlah kerugian RM170 juta.

"Pengendali aplikasi media sosial dicadangkan agar dipertanggungjawabkan terhadap kandungan yang dimuat naik ke aplikasi milik mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:



Menurutnya, langkah ini telah dilaksanakan di luar negara di mana Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Telegram dituduh oleh mahkamah di Perancis kerana membenarkan aktiviti jenayah dilakukan melalui aplikasi terbabit.

"Ia merupakan satu langkah pencegahan dan usaha pembanterasan kes-kes jenayah penipuan dalam talian khususnya penipuan pelaburan.

"Jadi sudah tiba masanya dipraktikkan pendekatan yang sama dalam mengatasi kebanjiran pelbagai kandungan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya serta menjadi ancaman yang membahayakan kepada masyarakat," ujarnya.

Ramli berkata, sebagai maklumat tambahan juga, mereka yang ingin melaburkan sejumlah besar wang ke syarikat-syarikat yang kononnya menjalankan aktiviti pelaburan terlebih dahulu dinasihatkan untuk membayar apa-apa cukai kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Hasil ini akan memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhannya berbanding dengan pelaburan tidak wujud yang hasilnya dimanfaatkan oleh scammer dan sindiket jenayah," katanya.

Terdahulu, pada 4 September lalu, seorang pengarah syarikat berumur 49 tahun membuat laporan polis setelah mengalami kerugian sebanyak RM4.6 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan.

Mangsa sebelum itu mendakwa dirinya ditawarkan untuk menyertai pelaburan modal perniagaan di sebuah syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat pada 7 Disember 2022.

Ramli berkata mangsa dijanjikan pulangan sebanyak ASD2.9 juta (RM12.54 juta) dalam tempoh setahun sekiranya membuat pelaburan sebanyak ASD1 juta (RM4.32 juta).

Beliau berkata, mangsa diyakinkan bahawa syarikat terbabit mempunyai wang jaminan berjumlah ASD5 juta (RM21.63 juta) sekiranya mengalami sebarang kerugian dalam pelaburan itu.

"Mangsa terpedaya dengan tawaran yang diberikan dan memindahkan wang sebanyak ASD1 juta (RM4.32 juta) daripada akaun syarikat miliknya ke akaun sebuah syarikat di luar negara.

"Bagaimanapun, sehingga kini mangsa tidak menerima sebarang pulangan sebagaimana yang dijanjikan," katanya.

Jelasnya, kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!