TNB tidak lantik ejen persendirian untuk urusan bayaran bil

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan helah individu atau pihak ketiga yang mendekati pengguna secara terus bagi sebarang tujuan pembayaran bil elektrik termasuk pemberian diskaun.

TNB dalam kenyataan menegaskan, pihaknya tidak pernah melantik ejen persendirian untuk menghubungi pengguna sebagai wakil bagi urusan pembayaran bil termasuk melalui panggilan telefon, WhatsApp dan media sosial.

"TNB merujuk kepada laporan pengguna yang tertipu dengan tawaran diskaun bil sehingga 35 peratus. TNB tidak pernah menawarkan diskaun atas jumlah bil elektrik.

"Sebagai organisasi yang sentiasa mengutamakan pelanggan, TNB menyediakan pelbagai saluran pembayaran bagi memudahkan pengguna," menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, terdapat sindiket membuat tawaran diskaun bil TNB melalui Facebook dikesan untuk memerangkap mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan rekod sejak Mac 2024 hingga Ogos, sebanyak tujuh kes berkaitan sedang disiasat melibatkan nilai kerugian keseluruhan RM279,289.

Dalam pada itu TNB turut menyenaraikan beberapa saluran rasmi bagi memudahkan pengguna membuat pembayaran bil elektrik.

Antaranya pembayaran melalui aplikasi mudah alih myTNB yang boleh dimuat turun secara percuma serta menerusi portal myTNB.

Artikel Berkaitan:

"Saluran alternatif seperti perbankan dalam talian, JomPAY, e-Wallet, bayaran bulanan secara terus debit atau automatik serta pembayaran fizikal.

"Untuk pengguna yang mempunyai tunggakan bil elektrik, semua pembayaran tetap perlu dibuat menerusi saluran pembayaran rasmi TNB," jelas kenyataan itu.

Untuk sebarang pertanyaan lain berkaitan akaun, pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454, Facebook TNB Careline atau X @Tenaga_Nasional.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!