Cadang anjur dialog selesai isu kelewatan baja padi - Muslimin
SABAK BERNAM - Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor dicadang mengadakan sesi dialog berikutan kelewatan kerja-kerja penaburan baja bagi projek rintis tanaman padi di Blok L1 hingga L20 Sungai Leman, Sekinchan.
Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Muslimin Yahaya berkata, dialog itu perlu dihadiri IADA Barat Laut Selangor, syarikat bertanggungjawab mengendalikan projek baja rintis dan pesawah terlibat.
"Dialog (antara pihak terlibat) perkara paling penting disebabkan tanaman padi ketika ini sangat kritikal kerana sudah melebihi 20 hari tidak dibaja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan dan bertemu pesawah terlibat di Tali Air 9 Ban 2 di sini pada Jumaat.
Muslimin memberitahu, rata-rata pesawah kecewa dengan keadaan itu sambil menyifatkan ia tidak pernah berlaku sepanjang mereka menanam padi sebelum ini.
"Biasanya pesawah menabur tiga kali baja dalam tempoh 30 hari, tetapi bagi projek rintis ini masih banyak kawasan yang belum ditabur baja kali pertama," jelas beliau.
Jelas beliau, lebih mengecewakan apabila pesawah juga tidak dimaklumkan tentang perkhidmatan pembajaan di kawasan tanaman padi.
"Saya difahamkan syarikat dilantik kerajaan tidak berjumpa dengan pesawah, malah tiada carta aliran kerja, cara menabur baja dan seolah-olah jadikan bendang ini bukan milik pesawah," ujar beliau.
Sehubungan itu, katanya, syarikat pengendali diminta menyelesaikan segera isu yang timbul kerana ia membabitkan isu jaminan keselamatan makanan negara.
"Syarikat sepatutnya turun pandang dan berjumpa dengan pesawah, andai kata mereka tidak ada kemampuan dari segi tenaga kerja, jumpalah pesawah dan pulangkan semula kepada mereka.
"Jika syarikat peroleh tender daripada kerajaan dan ada upah untuk setiap lot sawah, serahkan semula kepada pesawah untuk menguruskan bendang mereka bagi memastikan kawasan tanaman padi mendapat bekalan baja mencukupi.
"Jika hasil pengeluaran padi bagi projek baja rintis ini menurun, ia secara tidak langsung menjejaskan bekalan pengeluaran hasil padi negara," tambah beliau.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, kira-kira 1,920 hektar tanaman padi di Blok L1 hingga L20 Sungai Leman, Sekinchan yang terlibat dalam skim baja rintis berdepan kelewatan menerima bekalan baja sedangkan pokok padi sudah ditanam secara berperingkat bermula Ogos lalu.
Terdahulu, IADA Barat Laut Selangor memberi jaminan akan menjalankan pemantauan terhadap sebuah syarikat kontraktor berikutan kelewatan kerja-kerja penaburan baja bagi projek rintis tanaman padi di Blok L1 hingga L20 Sungai Leman, Sekinchan.
Hasil semakan IADA Barat Laut Selangor mendapati beberapa punca kelewatan penaburan baja antaranya isu kekurangan dron dan pekerja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!