Menyamar kakitangan e-dagang taktik terbaharu dikesan

Sejak tahun 2022 hingga Ogos 2024, sejumlah 8,082 kes phone scam telah dilaporkan melibatkan kerugian RM434.2 juta. Gambar hiasan (Gambar kecil: Ramli)
Sejak tahun 2022 hingga Ogos 2024, sejumlah 8,082 kes phone scam telah dilaporkan melibatkan kerugian RM434.2 juta. Gambar hiasan (Gambar kecil: Ramli)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menyamar sebagai kakitangan platform e-dagang antara taktik baharu dikesan digunakan sindiket penipuan menerusi panggilan telefon.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket penipuan ini dikesan sering menukar taktik untuk memerangkap dan menipu mangsa dengan yang terkini adalah penyamaran sebagai kakitangan platform e-dagang.

"Sejumlah 125 kes penipuan penyamaran sebagai kakitangan platform e-dagang direkodkan dengan nilai kerugian RM3.9 juta sejak Januari hingga Ogos 2024.

"Informasi pencegahan berkaitan kes-kes sebegini perlu sentiasa disalur dan disampaikan kepada segenap lapisan masyarakat agar mereka tidak menjadi mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabat JSJK Bukit Aman di sini pada Jumaat.

Menurutnya, penipuan menerusi panggilan telefon merupakan antara kategori jenayah penipuan dalam talian yang kerap dilaporkan.

"Sejak tahun 2022 hingga Ogos 2024, sejumlah 8,082 kes phone scam telah dilaporkan melibatkan kerugian RM434.2 juta.

"Kesemua angka ini hanyalah yang telah dilaporkan kepada polis, mungkin banyak lagi yang tidak dilaporkan atas faktor-faktor tertentu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ramli menegaskan bahawa penguat kuasa undang-undang seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan sebagainya tidak menggunakan telefon untuk memberitahu mereka melakukan kesalahan jenayah.

"Polis sama sekali tidak akan beritahu seseorang itu bahawa dia lakukan jenayah dan perkara ini masyarakat perlu tahu serta faham.

"Pindahan panggilan antara agensi sebagaimana yang berlaku dalam kes-kes penipuan menerusi panggilan telefon bukanlah cara kerja agensi kerajaan," katanya.

Jelasnya, mana-mana agensi kerajaan tidak akan memindahkan panggilan ke agensi lain dengan sewenang-wenangnya.

"Justeru, sekiranya menerima panggilan yang meragukan dan dipindahkan dari satu agensi ke agensi lain, ketahuilah ia adalah penipuan.

"Segera tamatkan panggilan tersebut bagi mengelak dari menjadi mangsa penipuan, perlu tahu bahawa taktik penipuan yang digunakan sindiket ini sentiasa berubah antaranya melibatkan penyamaran sebagai pegawai polis, pegawai mahkamah, pos laju dan sebagainya," katanya.

Terdahulu pada 1 September lalu, seorang wanita mengalami kerugian sebanyak RM106,400 menerusi penipuan panggilan menerusi panggilan telefon yang menyamar sebagai kakitangan platform e-dagang dekat Johor.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!