'Selut di pesisiran Teluk Kumbar bukan berpunca daripada projek tambak'

SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI

Dari kiri: Saaroni, Harris dan Mohammad
Dari kiri: Saaroni, Harris dan Mohammad
A
A
A

BAYAN LEPAS - Keadaan selut di pesisiran Teluk Kumbar bukan berpunca daripada Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) yang memulakan kerja tapak pada September tahun lalu sebaliknya ia sudah berlaku sejak dahulu lagi.

Selain itu, nelayan di kawasan tersebut mendakwa, masalah selut di Teluk Kumbar merupakan masalah tidak kekal kerana ia bergantung kepada musim cuaca.

Nelayan, Harris Abdullah, 64, berkata, masalah selut akan berlaku bermula daripada April sehingga Oktober setiap tahun namun ia tidak seteruk seperti yang didakwa oleh beberapa pihak sebelum ini.

Menurutnya, dalam tempoh tersebut iaitu musim Barat Daya tiba, selut akan menjadi cair apabila dipukul ombak.

"Masalah selut di kawasan ini sudah wujud berpuluh tahun lalu, bukan sejak projek tambakan laut dijalankan. Musim selut akan berlaku apabila musim monsun Barat Daya melanda, ombak akan menjadi kuat dan selut akan cair kerana dipukul ombak.

"Bagaimanapun, ketika musim Timur Laut iaitu bermula November hingga Mac, masalah selut tiada kerana ia membeku selain ombak pun tidak terlalu kuat," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Jumaat.

Harris menambah, kehadiran selut di kawasan tersebut merupakan fenomena semulajadi sejak dahulu lagi.

Sementara itu, nelayan Mohammad Long, 67, menafikan dakwaan mengatakan keadaan selut di kawasan Teluk Kumbar menyebabkan hasil laut terutamanya udang terjejas.

Artikel Berkaitan:

"Say hairan apabila ada yang mendakwa udang susah nak dapat kerana keadaan yang berlaku di sini adalah sebaliknya. Udang sangat banyak sekarang ini. Ini bermakna, nelayan yang turun ke laut tidak akan pulang dengan tangan kosong.

"Kerana terlalu banyak, kami jual udang kepada pemborong juga rendah iaitu RM45 sekilogram berbanding sebelum ini dengan RM50 sekilogram (bulan lalu). Ini bermakna, kawasan ini tidak terjejas dengan keadaan selut," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi nelayan, Saaroni Hasan, 74, berkata, nelayan di kawasan pantai Teluk Kumbar dan kawasan berhampiran telah memperoleh banyak faedah daripada skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP).

Menurutnya, antara yang diperoleh mereka adalah bot baharu yang besar dengan enjin yang lebih berkuasa.

"Dengan adanya bot yang lebih besar dan enjin yang lebih berkuasa, nelayan boleh pergi lebih jauh untuk menangkap ikan.

"Bot besar ini juga boleh mengharungi selut yang sememangnya ada di pesisiran pantai di kawasan Teluk Kumbar ini," tambahnya lagi.

Sebelum ini, sekumpulan nelayan di Unit Sungai Batu mendakwa terpaksa menempuh pelbagai kesukaran apabila kawasan pesisiran laut Sungai Batu dipenuhi selut sedalam lebih satu meter.

Kehadiran selut itu adalah disebabkan projek penambakan Pulau Silikon seluas 930.8 hektar yang sedang dijalankan ketika ini.

Kata mereka, selut yang amat tebal itu menyebabkan pendapatan nelayan terjejas sehingga 60 peratus.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!