Dua jam kaki tersepit dalam lubang tandas
KOTA BELUD - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun berdepan detik cemas apabila kaki sebelah kanannya tersepit dalam lubang mangkuk tandas di sebuah Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 pagi itu, kanak-kanak tersebut terpaksa menahan kesakitan selama dua jam sebelum kakinya berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dari lubang tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.44 pagi.
Katanya, seramai lapan anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh tiga kilometer dari BBP Kota Belud.
"Kejadian berlaku ketika kanak-kanak itu mahu membuang air kecil namun secara tidak sengaja kakinya termasuk ke dalam lubang tandas yang jenis mencangkung.
"Sebaik menerima panggilan, sepasukan anggota segera ke lokasi bagi menjalankan operasi mengeluarkan kaki kanak-kanak yang tersepit menggunakan peralatan khas," katanya Ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Katanya lagi, operasi tersebut memakan masa kira-kira dua jam sebelum kakinya berjaya dikeluarkan dari lubang mangkuk tandas tersebut.
"Kanak-kanak itu mengadu kesakitan semasa tersangkut dan menangis namun usaha memujuknya turut dilakukan ketika proses mengeluarkan kakinya yang tersepit.
"Kanak-kanak itu kemudian diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan sebelum di bawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.
Muhammad Syazwan berkata, operasi ditamatkan pada jam 12.53 tengah hari selepas memastikan keadaan lokasi selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!