Jualan Agro Madani seluruh Terengganu rekod RM1.03 juta

Hasmila (kanan) ketika pelancaran Pasar Peladang Outlet Terengganu (POT) di pekarangan Wisma Peladang di Kuala Terengganu pada Jumaat.
Hasmila (kanan) ketika pelancaran Pasar Peladang Outlet Terengganu (POT) di pekarangan Wisma Peladang di Kuala Terengganu pada Jumaat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Program Jualan Agro Madani oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) merekodkan jualan hampir RM1.03 juta di seluruh Terengganu bagi tempoh 1 Januari hingga September tahun ini.

Pengarah LPP Terengganu, Hasmila Abas berkata, rekod jualan pelbagai hasil agromakanan itu melibatkan 21 lokasi di seluruh negeri.

Menurutnya, angka tersebut menunjukkan peningkatan berbanding RM412,000 yang dicapai ketika awal pelaksanaan bermula Mei hingga Disember tahun lalu.

"LPP telah melaksanakan beberapa penambahbaikan pada tahun ini dengan menyusun pergerakan Jualan Agro Madani dengan gabungan antara Pertubuhan Peladang Kawasan, Peladang Muda dan Peladang Nita bagi memberi impak menyeluruh kepada penyertaan usahawan atau petani di kawasan pertubuhan peladang.

"Kita akan terus melaksanakan jualan ini di seluruh negeri sehingga akhir tahun ini bagi membolehkan rakyat khususnya golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan barangan pada harga rendah," katanya ketika ditemui pemberita sempena pelancaran Pasar Peladang Outlet Terengganu (POT) di pekarangan Wisma Peladang di sini pada Jumaat.

Hasmila berkata, pasar berkenaan yang berperanan membantu petani memasarkan dan menjual sendiri produk secara terus kepada pelanggan akan mula beroperasi hujung bulan ini dan akan dirasmikan oleh Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar.

Mohd Rosli (tengah) menyantuni pengunjung sempena pelancaran Pasar Peladang Outlet Terengganu (POT) di pekarangan Wisma Peladang, Kuala Terengganu pada Jumaat.
Mohd Rosli (tengah) menyantuni pengunjung sempena pelancaran Pasar Peladang Outlet Terengganu (POT) di pekarangan Wisma Peladang, Kuala Terengganu pada Jumaat.

"POT akan dijadikan sebagai tarikan di sesebuah pasar. Untuk hari ini sahaja kita ada seramai 45 peniaga dengan anggaran jualan mencecah RM100,000.

Artikel Berkaitan:

"Ia juga mendapat sambutan pengunjung, kita anggarkan terdapat 8,000 hingga 10,000 pengunjung yang datang ke sini pada hari ini.

"Kita harap dengan adanya pasar yang menawarkan produk-produk bahan mentah seumpama ini dengan harga berpatutan, ia dapat membantu rakyat," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu, Datuk Mohd Rosli Harun menyifatkan program itu mencapai sasaran pada hari pertama jualan.

"Walaupun baru hari pertama beroperasi, prestasi jualan Peladang Outlet dengan kerjasama Peladang Muda dan Pertubuhan Peladang Negeri mencapai sasaran jualan hampir RM100,000 dengan kehadiran mencecah 10,000 pengunjung.

"Sebanyak 500 kilogram daging yang dijual pada harga RM25 sekilogram licin diserbu pelanggan manakala sebanyak satu tan ayam juga habis dijual," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!