'Syukur kes kematian ayah dapat pembelaan'

Wardah (kanan) menenangkan ibunya Norizan Mat Isa, 43, (tengah) selepas mendengar hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh di luar Mahkamah Majistret Melaka pada Jumaat.
Wardah (kanan) menenangkan ibunya Norizan Mat Isa, 43, (tengah) selepas mendengar hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh di luar Mahkamah Majistret Melaka pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Seorang gadis, Wardah Abdul Rahim, 23, sebak dan bersyukur apabila kematian bapanya akibat dilanggar pemandu mabuk mendapat keadilan.

"Alhamdulillah syukur kematian ayah terbela dan tertuduh mendapat balasan atas kesalahan yang dilakukannya," katanya ketika ditemui selepas tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan didenda RM70,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat.

Malah penyelia syarikat hiasan dalaman, Lee Han Wee, 45, yang didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kemalangan maut, turut digantung lesen memandu selama 10 tahun bermula selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Menurut Wardah, insiden itu sangat memberi kesan kepada mereka tiga beradik termasuk adiknya Nurul A'liyah Abdul Rahim, 16, dan Sofia U'mairah Abdul Halim, 14.

"Ketiga-tiga kami terlibat dalam kemalangan itu namun bernasib baik kami selamat.

"Tetapi sehingga sekarang kami terpaksa menanggung kesannya seumur hidup," katanya lagi.

Jelas Wardah, di lengan tangannya masih terdapat besi manakala Nurul A'liyah mengalami kecederaan pada bahagian otak yang menyebabkan dia lambat untuk memproses maklumat.

Wardah (kanan) menenangkan ibunya Norizan Mat Isa, 43, (tengah) selepas mendengar hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh di luar Mahkamah Majistret Melaka pada Jumaat.
Wardah (kanan) menenangkan ibunya Norizan Mat Isa, 43, (tengah) selepas mendengar hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh di luar Mahkamah Majistret Melaka pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Sofia U'mairah pula mengalami patah tangan dan menjejaskan pergerakannya," ujarnya.

Dalam kejadian itu, Abdul Rahim, 52, yang merupakan kakitangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta jenis Proton Wira dipandunya dirempuh kereta jenis Nissan Teana dari arah bertentangan pada 29 November 2021.

Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi membuat keputusan itu selepas pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan terhadap tertuduh.

Sementara itu, Peguam Alhirzan Mohd. Akhir yang mewakili tertuduh merayu penangguhan hukuman penjara kerana anak guamnya turut mengalami kecederaan tulang pinggul akibat kemalangan itu dan memerlukan rawatan lanjut di hospital pakar.

Timbalan Pendakwa Raya Sherina Farhana Nor Sa'ari membantah rayuan itu kerana ketika kejadian tertuduh memandu dalam keadaan sedar sebelum mengambil minuman keras.

Hujahnya, tindakan tertuduh menyebabkan kemalangan berlaku dan tertuduh juga masih boleh menerima rawatan di penjara.

Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman penjara dengan syarat iaitu notis rayuan perlu dikemukakan secepat mungkin, selain jumlah jaminan dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM20,000 dengan seorang penjamin manakala denda RM70,000 perlu dibayar terlebih dahulu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!