17 amil zakat fitrah cemerlang terima anugerah MAFIT 2024

Pemenang pertama menerima wang tunai RM5,000 pada MAFIT 2024 yang disampaikan Mohamad (enam dari kanan).
Pemenang pertama menerima wang tunai RM5,000 pada MAFIT 2024 yang disampaikan Mohamad (enam dari kanan).
A
A
A

PERAI - Seramai 17 amil zakat fitrah yang dilantik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) telah dipilih oleh Bank Islam Malaysia Berhad sebagai pemenang dalam Anugerah Kutipan Zakat Fitrah 2024.

Kesemua amil fitrah terbabit dipilih berdasarkan kecemerlangan mereka dalam menguruskan kutipan zakat fitrah bagi tahun ini.

Pemenang pertama menerima hadiah wang tunai RM5,000 manakala 16 orang pemenang lagi menerima saguhati berjumlah RM1,000 setiap seorang.

Mereka diraikan dalam Majlis Anugerah Amil Fitrah (MAFIT) Tahun 2024 yang diadakan di sebuah hotel di sini pada Jumaat.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, MAFIT telah dianjurkan setiap tahun sebagai tanda apresiasi MAINPP melalui agensinya, Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Menurutnya, bagi tahun ini, MAFIT diberikan nilai tambah yang lebih efisien dengan penyertaan daripada Bank Islam Malaysia Berhad yang berbesar hati memberikan sumbangan bagi Anugerah Kutipan Zakat Fitrah pada tahun ini.

Salah seorang daripada 16 amil zakat fitrah menerima saguhati berjumlah RM1,000 daripada Mohamad (enam daripada kanan).
Salah seorang daripada 16 amil zakat fitrah menerima saguhati berjumlah RM1,000 daripada Mohamad (enam daripada kanan).

"Anugerah Kutipan Zakat Fitrah Tahun 2024 dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Anugerah Peratusan Kenaikan Kutipan Tertinggi, Anugerah Pengurusan Fitrah Terbaik dan Anugerah Kutipan Zakat Fitrah Tanpa Tunai Tertinggi (Individu).

Artikel Berkaitan:

"Secara amnya, kesemua kategorinya dipilih berdasarkan peratusan kenaikan kutipan berbanding tahun sebelumnya, kecekapan dalam pengurusan serta berdasarkan kutipan zakat fitrah tertinggi melalui kaedah tanpa tunai," katanya ketika berucap di MAFIT 2024 pada Jumaat.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali.

Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, prestasi kutipan zakat fitrah bagi tahun ini sehingga September mencatatkan peningkatan memberangsangkan berbanding tahun sebelumnya dalam tempoh yang sama.

"Kutipan zakat fitrah mencatat sebanyak RM7.34 juta berbanding hanya RM6.84 juta tahun lalu sekali gus menyaksikan peningkatan sebanyak 7.19 peratus. Jumlah pembayar zakat fitrah pada tahun ini pula seramai 836,831 orang.

"Berdasarkan Laporan Sosioekonomi 2023 Pulau Pinang yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Ekonomi, jumlah itu melebihi sebanyak 29,711 orang daripada jumlah populasi bumiputera iaitu 807,120 orang," katanya.

Tambah beliau, peningkatan kutipan zakat fitrah di Pulau Pinang pada tahun 2024 membuktikan bahawa keyakinan masyarakat Islam di Pulau Pinang terhadap MAINPP dan ZPP semakin meningkat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!