Seramai 3.9 juta penduduk Malaysia berusia 60 tahun ke atas

Mohd Uzir ketika sidang akhbar Peluncuran Myageing Dashboard & Trend dan Analisis Penuaan Penduduk di Malaysia yang diadakan secara dalam talian pada Jumaat.
Mohd Uzir ketika sidang akhbar Peluncuran Myageing Dashboard & Trend dan Analisis Penuaan Penduduk di Malaysia yang diadakan secara dalam talian pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA- Malaysia mempunyai 3.9 juta penduduk yang berumur 60 tahun ke atas yang merangkumi 11.6 peratus daripada 34.1 juta keseluruhan penduduk.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pada tahun 1970, negara hanya mempunyai 5.4 peratus penduduk berumur 60 tahun dan lebih manakala 44.5 peratus berusia 14 tahun ke bawah.

"Bagaimanapun pada ini, penduduk berumur 14 tahun ke bawah telah menurun kepada 22.2 peratus manakala penduduk berumur 60 tahun dan lebih meningkat kepada 11.6 peratus," katanya menerusi sidang akhbar secara dalam talian sempena pelancaran Myageing Dashboard, pada Jumaat.

Ujar beliau, Malaysia bakal mempunyai 23.3 peratus penduduk dari kumpulan umur berkenaan menjelang tahun 2050.

“Pada tahun ini, sembilan negeri telah mencapai status Ageing Society iaitu penduduk berumur 65 tahun dan lebih telah mencapai tujuh peratus," kata Mohd Uzir.

Jelasnya, negeri tersebut adalah Perak yang merekodkan 9.9 peratus, disusuli Kedah (9.1 peratus), Sarawak (8.7 peratus), Perlis (8.2 peratus), Selangor (8.1 peratus), Pulau Pinang (8.0 peratus), Negeri Sembilan (7.6 peratus), Johor (7.4 peratus) dan Kelantan (7.0 peratus).

Berdasarkan kriteria United Nations, penduduk berumur 65 tahun dan lebih, Malaysia telah mencapai status Ageing Society pada tahun 2021 manakala dijangka akan mencapai status Super Aged iaitu 20 peratus daripada jumlah penduduk pada tahun 2057.

Menurut Mohd Uzir, tiga negeri tertinggi merekodkan penduduk berusia 65 tahun ke atas adalah Perak iaitu 9.9 peratus, Kedah (9.1 peratus) dan Sarawak (8.7 peratus).

Artikel Berkaitan:

"Daerah di Sarawak dan Perak tersenarai dalam 20 daerah tertinggi penduduk berumur 60 tahun dan lebih.

"Tiga daerah tertinggi adalah di Sarawak membabitkan Lubuk Antu, yang menyaksikan 21.8 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas, Sri Aman (18.7 peratus) dan Saratok (18.5 peratus)," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir menjelaskan 11 daerah dikenal pasti sebagai daerah menua iaitu penduduk berumur 65 tahun dan lebih mencapai 7.0 peratus.

Daerah ini adalah Beluru (Sarawak), Kuala Langat (Selangor), Telang Usan (Sarawak), Sepang (Selangor), Mukah (Sarawak), Muallim (Perak), Tenom (Sabah), Seberang Perai Tengah (Pulau Pinang), Segamat (Johor), Tumpat (Kelantan) dan Kuala Selangor (Selangor).

"Semua daerah di dua negeri di utara Malaysia, Perak dan Kedah telah menjadi daerah menua," katanya.

Tegas beliau, secara realitinya, Malaysia sedang mengalami peningkatan penduduk tua, peningkatan jangka hayat dan penurunan Kadar Kelahiran Rendah dan Kadar Kesuburan Jumlah (TFR).

"Ini merupakan trend yang akan memberi impak kepada pelbagai aspek kesihatan, kehidupan sosial dan ekonomi," katanya.

Mengulas mengenai trend implikasi, Mohd Uzir menjelaskan terdapat peningkatan terhadap perbelanjaan awam, tekanan kepada program insurans sosial serta penguncupan tenaga buruh di kawasan terlibat.

"Dari segi sosial pula, ia akan mendatangkan beban kepada mereka yang bekerja dan kos rawatan serta penjagaan kesihatan dijangka akan meningkat," katanya.

Sehubungan itu, kerajaan perlu meningkatkan perbelanjaan untuk penjagaan kesihatan dan pemulihan bagi menampung kos yang semakin tinggi berkaitan dengan penjagaan warga tua.

Ini termasuk kos rawatan perubatan, rehabilitasi dan program sokongan yang diperlukan untuk memastikan kualiti hidup yang baik bagi populasi yang menua.

"Di kawasan luar bandar, terdapat kekurangan akses kepada penjagaan kesihatan geriatrik yang berkualiti serta sistem sokongan yang diperlukan.

"Ini boleh menyebabkan warga tua di kawasan berkenaan menghadapi kesulitan dalam mendapatkan rawatan dan sokongan yang sesuai, diperburuk dengan tahap kesihatan mereka selain jurang kesihatan antara bandar serta luar bandar," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!