Pemandu mabuk dipenjara 10 tahun, didenda RM70,000 sebab kematian
MELAKA - Penyelia syarikat hiasan dalaman dipenjara 10 tahun dan denda RM70,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat, kerana didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk.
Tertuduh, Lee Han Wee, 45 tahun dijatuhi hukuman itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dihadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi.
Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung selama 10 tahun bermula selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Berdasarkan pertuduhan, dia dikatakan memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kemalangan dan kematian seorang lelaki, Abdul Rahim Mohamad,53.
Kesalahan itu berlaku di Jalan Limbongan, Klebang, di sini, pada jam 12.45 pagi, 29 November 2021.
Pendakwaan bagi kes itu dijalankan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 Pindaan 2020.
Peguam Alhirzan Mohd Akhir yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara ke atas anak guamnya ditangguhkan kerana dia mengalami kecederaan tulang pinggul akibat kemalangan tersebut dan memerlukan rawatan lanjut di hospital pakar.
Timbalan Pendakwa Raya, Sherina Farhana Nor Sa'ari bagaimanapun membantah permohonan itu kerana tertuduh mengambil minuman keras sebelum memandu sehingga menyebabkan kemalangan berlaku selain dia juga boleh menerima rawatan ketika berada di penjara.
Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan hukuman penjara dengan syarat pihak pendakwaan perlu menghantar notis rayuan secepat mungkin dengan jumlah jaminan dinaikkan kepada RM20,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh juga diarahkan membayar denda RM70,000 terlebih dahulu, dan penjara 12 bulan sekiranya gagal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!