Dera kanak-kanak: Polis tahan dua pengasuh bantu siasatan

Tangkap layar video tular berdurasi 25 saat memaparkan kanak-kanak yang didakwa didera pengasuh melibatkan sebuah Taska di daerah Besut.
Tangkap layar video tular berdurasi 25 saat memaparkan kanak-kanak yang didakwa didera pengasuh melibatkan sebuah Taska di daerah Besut.
A
A
A

BESUT - Polis menahan dua pengasuh sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) bagi membantu siasatan berhubung penularan sebuah video memaparkan insiden kanak-kanak yang didakwa didera di taska terbabit.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian melibatkan mangsa perempuan berusia setahun dan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu jam 7 malam pada Khamis.

"Kita telah mengesan video berdurasi 25 saat yang dimuat naik di media sosial dan menerima satu laporan dibuat oleh ibu kepada kanak-kanak di dalam video terbabit.

"Polis telah menahan kedua-dua suspek berusia 26 dan 50 tahun dan akan dibawa ke mahkamah pada Sabtu untuk proses permohonan reman," katanya di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kes tersbabit akan disiasat di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Abdul Rozak berkata, hasil siasatan awal mendapati taska terbabit berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil serta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar yang akan mengganggu siasatan pihak polis.

"Kita minta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!