Lelaki berseluar dalam pecah masuk asrama perempuan curi pakaian dalam
KOTA KINABALU - Perbuatan jijik seorang lelaki mencuri pakaian dalam penuntut wanita di kawasan asrama sebuah kolej di sini akhirnya terbongkar apabila ditahan di kawasan parkir di Likas pada Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, lelaki berusia 33 tahun tersebut ditahan selepas pakaian dalam wanita ditemui dalam beg sandangnya.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, laporan dibuat oleh seorang pengadu berusia 21 tahun apabila melihat suspek berada di dalam asrama tersebut.
"Pengadu mendapati pintu utama asrama tersebut dalam keadaan terbuka dan mendapati seorang lelaki tidak dikenalinya berada di dalam dengan keadaan tidak berpakaian iaitu hanya memakai seluar dalam.
"Lelaki yang dilihat dalam keadaan mencurigakan itu kemudian ditahan dan hasil pemeriksaan pada beg sandangnya menemui pakaian dalam wanita," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya lagi, siasatan awal mendapati suspek telah mencuri pakaian dalam tersebut dengan tujuan untuk berseronok.
"Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 379/448 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!