Terengganu adakan solat hajat permudah rundingan penyaluran royalti

Tangkap layar hantaran di media sosial Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru orang ramai menghadiri majlis Munajat Terengganu Sejahtera di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.
Tangkap layar hantaran di media sosial Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru orang ramai menghadiri majlis Munajat Terengganu Sejahtera di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menganjurkan majlis solat hajat secara besar-besaran menerusi program Munajat Terengganu Sejahtera di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, malam Jumaat.

Hebahan mengenai program yang diadakan sempena Majlis Perasmian Karnival Indahnya Hidup Bersyariat itu dimuat naik menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebentar tadi.

"Malam ini, insya-ALLAH. Dijemput semua hadir bermunajat bersama demi kesejahteraan negeri Terengganu tercinta.

"Moga diampunkan dosa-dosa dan dimakbulkan doa-doa kita semua.

"Mohon bawa sejadah atau alas sekali," katanya menerusi hantaran tersebut.

Ahmad Samsuri dijangka tiba pada majlis itu sekitar jam 8.30 malam sebelum menyertai solat sunat hajat dan munajat.

Selain itu, majlis yang juga akan dihadiri Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi itu dijangka turut menampilkan kumpulan Soutul Amal bagi memimpin bacaan qunut nazilah dan selawat perdana.

Sebelum ini, pada 27 Mac lalu Sinar Harian melaporkan, Muhammad Khalil mengesahkan penangguhan program diberi nama Munajat Rakyat Terengganu yang dijadualkan pada 6 April 2024.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, majlis itu ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Jelas beliau, program itu sebagai usaha menuntut tunggakan pembayaran penuh wang royalti minyak negeri tersebut serta antara ikhtiar kerajaan negeri bagi memastikan urusan rundingan penyaluran royalti dipermudahkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!