Tanah jerlus Masjid India: 'Terima kasih kerajaan Malaysia, petugas SAR' - Keluarga
KUALA LUMPUR - Anggota keluarga G Vijaya Lakshmi, warga India yang hilang dalam kejadian tanah jerlus Jalan Masjid India merakamkan ucapan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang bertungkus lumus untuk menjejakinya.
"Kami sekeluarga berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan pasukan penyelamat yang bertungkus lumus dengan sepenuh hati terlibat dalam operasi pencarian," kata ahli keluarga G Vijaya Lakshmi.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif ketika dihubungi Astro AWANI memberitahu, perkara itu diluahkan suami mangsa, Mathavan, 49, dan anak lelakinya, M Suria, 25, kepada kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika mereka dihantar pulang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk berlepas ke India, pada 1 September lalu.
Menurutnya lagi, keluarga mangsa juga berpuas hati dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan langkah-langkah pantas yang diambil kerajaan Malaysia.
"Mereka berada di lokasi sepanjang SAR dan memantau secara dekat semua pergerakan petugas.
"Malah mereka juga diberi penerangan mengenai setiap pergerakan dan tindakan kerajaan," katanya di sini pada Jumaat.
Maimunah memberitahu, selain DBKL, pegawai dari Suruhanjaya Tinggi India ke Malaysia turut menghantar mereka pulang di KLIA.
Pada 23 Ogos lalu wanita berusia 48 tahun berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India itu hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.
Sembilan hari kemudian, selepas mendapat pandangan daripada sudut pakar, kerajaan memutuskan untuk menamatkan SAR.
Keputusan untuk menghentikan operasi SAR dibuat atas beberapa faktor termasuk isu keselamatan membabitkan anggota SAR, selain faktor keselamatan semasa di lokasi susulan beberapa kejadian tanah jerlus susulan yang berlaku akhir-akhir ini. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!