Maszlee dedah kisah di sebalik 1BestariNet

Dr Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik
A
A
A

SHAH ALAM - Isu membabitkan 1BestariNet menjadi antara faktor yang membawa kepada peletakan jawatan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan pada Januari 2020.

Dalam pendedahan terbarunya, Maszlee memberitahu Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad memintanya berbuat demikian, di atas permintaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga ahli Bersatu ketika itu mendakwa dipanggil oleh Dr Mahathir sebanyak lima kali untuk bertemu di pejabatnya bagi berbincang isu berkenaan.

“Saya sering ditanya apakah permintaan PM Ke-7 untuk saya memulangkan jawatan saya kepada beliau adalah disebabkan oleh isu 1BestariNet atau lebih khusus kontrak YTLC dengan KPM (Kementerian Pendidikan) yang penuh kontroversi.

“Saya tidak boleh mengatakan ia satu-satunya sebab, namun boleh dikatakan itu merupakan antara sebab mengapa PM meminta saya berbuat demikian, di mana menurut beliau di atas permintaan Presiden Bersatu ketika itu.

“Malah saya juga telah hadir sebanyak dua kali dengan pimpinan tertinggi KPM untuk menerangkan kepada beliau perihal keputusan yang dibuat oleh KPM,” jelasnya dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.

Maszlee mendedahkan, pada mesyuarat terakhir bersama Dr Mahathir, beliau memaklumkan bahawa Muhyiddin amat marah kepadanya disebabkan isu berkenaan.

Tidak lama selepas itu, Maszlee menerima kiriman emel yang memintanya memulangkan semula jawatan yang diamanahkan kepadanya.

Artikel Berkaitan:

“Biarlah apa yang berlalu itu berlalu. Saya yakin, sepertimana dalam ucapan terakhir sebelum meninggalkan KPM, di atas arahan dan nasihat daripada PM ketika itu.

“Saya dengan berat hati tetapi rela, menyerahkan semula jawatan tersebut kepada beliau di atas dasar patuh kepada arahan pimpinan dan yakin kepada kebijaksanaan beliau. Itu telah menjadi sejarah.

“Apa yang penting, umum ingin mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku dengan 1Bestarinet dan KPM,” jelasnya.

Maszlee turut mempertahankan keputusannya untuk menamatkan perkhidmatan 1BestariNet pada 30 Jun 2019 kerana mendakwa ia tidak mencapai objektif pelaburan kerajaan.

Jelasnya, ia hasil dapatan yang telah dibentangkan kepada pihak KPM dan seterusnya telah dikemukakan kepada PM pada tahun 2019.

“Jawatankuasa Semakan KPM hanya memperakukan RM52.8 juta daripada RM62.6 pada Jun 2019 atas sebab YTL tidak mematuhi Perjanjian Tahap Perkhidmatan, manakala Kajian Impak oleh Universiti Awam mendapati kualiti capaian internet tidak memuaskan berdasarkan aduan yang diterima dari majoriti pemegang taruh yang terlibat.

“Program e-Pembelajaran yang berjumlah RM1.13 bilion tidak mencapai objektif yang ditetapkan, di mana perkhidmatan 1BestariNet tidak mencapai KPI penggunaan produk Frog VLE.

“Peratus guru yang membangunkan laman pembelajaran hanya 3,317 (0.8 peratus) daripada 423,566 guru. Lebih malang lagi, laman Frog VLE yang boleh dikongsikan ke seluruh Malaysia hanya 46,152 selama 8 tahun iaitu 0.12 laman bagi setiap guru pada setiap tahun, di mana anggaran RM24,000 untuk satu laman,” jelasnya.

Maszlee menegaskan, keputusan KPM adalah keputusan profesional berteraskan fakta, hujah dan perundangan.

“Saya yakin dengan bayaran yang terlalu ‘mahal’ yang akan dihadapi dengan prinsip dan keputusan ini. Ia adalah tribulasi kecil di atas pengorbanan semenjak hari pertama lagi saya membuat keputusan untuk terlibat dengan politik.

“Apakah keputusan ini yang menyebabkan saya diminta meninggalkan kedudukan saya di Kementerian Pendidikan Malaysia? Wallahua’lam,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!