JIM tumpas sindiket ejen haram tawar khidmat urusan imigresen

Antara suspek yang ditahan JIM menerusi operasi khas di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.
Antara suspek yang ditahan JIM menerusi operasi khas di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Sindiket ejen haram yang mengenakan bayaran sehingga RM1,100 kepada warga asing yang hendak berurusan di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditumpaskan dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang.

Serbuan selama dua hari bermula Rabu dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi di Puchong dan Kelana Jaya, Selangor; Sungai Besi, Kuala Lumpur serta Putrajaya hasil risikan selama dua minggu itu berjaya memberkas lapan suspek berusia lingkungan 22 hingga 42 tahun.

"Tiga warga tempatan termasuk seorang wanita yang ditahan disyaki dalang sindiket, dua lelaki warga India dan Vietnam pula merupakan ahli sindiket.

"Tangkapan turut membabitkan tiga wanita iaitu dua warga Vietnam dan seorang Sri Lanka," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, JIM turut merampas 209 naskhah pasport pelbagai negara iaitu India, Sri Lanka, Bangladesh, Indonesia, Vietnam, Nepal, Pakistan dan Myanmar.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita empat kenderaan iaitu Proton X70, Proton Exora, Nissan Almera dan Audi.

Jelasnya, modus operandi sindiket ialah menyasarkan warga asing di sekitar Lembah Klang dengan menawarkan perkhidmatan untuk berurusan dengan JIM berkaitan pasport dan pas seperti Pas Lawatan Sosial (PLS), Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) dan visa.

Artikel Berkaitan:

"Kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM500 hingga RM1,100 bagi setiap perkhidmatan yang ditawarkan," ujarnya.

Ruslin berkata, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

"Jabatan ini akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!