Garis panduan KPM perlu dipatuhi, tiada pengecualian - Kah Woh

Wong Kah Woh (dua dari kiri) bersama kepimpinan DAP Kedah pada sidang akhbar di Alor Setar.
Wong Kah Woh (dua dari kiri) bersama kepimpinan DAP Kedah pada sidang akhbar di Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah diminta memahami dan mematuhi garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terutama berkaitan penganjuran aktiviti sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, setiap peraturan dalam garis panduan berkenaan amat jelas selain memperuntukkan setiap aturan yang wajar dipatuhi dalam kawasan sekolah.

Menurutnya, semua pihak tertakluk kepada garis panduan KPM sedia ada dan tiada pengecualian.

“Saya ingin tegaskan apabila kita menguruskan berkenaan orang kenamaan yang hendak masuk ke sekolah atau menganjurkan aktiviti ke sekolah, ada garis panduan yang perlu diikuti.

“Malah garis panduan berkenaan telah berkali-kali dijawab dalam Parlimen kepada ahli-ahli Parlimen yang membangkitkan persoalan sama,” katanya selepas merasmikan Konvensyen biasa DAP Kedah di sini pada Jumaat.

Kah Woh berkata, semua pihak harus bertanggungjawab dan perlu mematuhi garis panduan tersebut agar institusi pendidikan tidak dicemari dengan anasir luar yang tidak sewajarnya.

“Saya mohon supaya kerajaan negeri Kedah membaca dengan teliti garis panduan yang ada. KPM berpegang kepada garis panduan tersebut.

“Saya juga percaya peruntukan atau garis panduan yang telah ditetapkan itu amat jelas perinciannya untuk diikuti semua pihak,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dilaporkan berkata, wujud politik kepartian dalam sektor pendidikan.

Pada ucapan penggulungan persidangan DUN Kedah di Wisma Darul Aman, Sanusi tegaskan, sektor pendidikan sewajarnya bebas dari elemen dan propaganda politik kepartian, apabila kepimpinan negeri dihalang daripada memasuki kawasan sekolah mahupun menjalin kerjasama dalam program berkaitan pendidikan.

Sehubungan itu, beliau meminta KPM dan kerajaan Persekutuan memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri menganjurkan program pendidikan untuk manfaat pelajar di negeri ini.

Ia susulan pendedahan Exco Pendidikan negeri, Datuk Mohd Azam Abd Samat berkaitan Program Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses (KOMPas) dianjurkan kerajaan negeri tidak mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan tidak membenarkan guru mahupun pengetua menyertainya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!