Warga emas cedera disondol kerbau betina
KUALA PILAH - Seorang lelaki warga emas berdepan detik mencemaskan selepas diserang seekor kerbau betina di sebuah kolam udang di Kampung Jumbang,Seri Menanti di sini pada Rabu lalu.
Dalam kejadian jam lebih kurang 5.30 petang itu, Mohd Arshad Lebar, 63, mengalami kecederaan di bahagian dada sedalam tiga inci akibat disondol tanduk kerbau, selain luka di mata dan perut.
Mohd Arshad yang merupakan pekerja kolam udang itu berkata, dia tidak menjangkakan haiwan dengan berat hampir 200 kilogram berkenaan bertindak sedemikian berikutan ia tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Ada sekumpulan kerbau di seberang kolam dan saya pula sedang bagi udang makan. Tidak lama lepas itu, kerbau berkenaan menghala keluar saya pun bergerak membelakangi haiwan tersebut.
"Bagaimanapun tiba-tiba seekor kerbau betina pusing ke belakang lalu mengejar saya sebelum disondolnya, akibatnya saya tercampak ke dalam kolam kering. Sudah jatuh disondolnya saya lagi buat kali kedua," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Mertang, Seri Menanti pada Jumaat.
Katanya, haiwan itu cuba menyondolnya kali ketiga namun dia berjaya menahan tanduk kerbau sebelum membenamkan kepala haiwan itu ke tanah dan menyelamatkan diri.
"Kali ketiga saya pegang tanduknya dan tolak ke tanah...agaknya dah lemas, kerbau itu pun pergi. Ketika itu badan saya sudahpun berlumuran darah. Saya merangkak naik ke tebing dan ada buluh saya ambil buat tongkat berjalan ke motosikal.
"Alhamdulillah saya berjaya menunggang motosikal hingga ke warung makan Tok Atan (ketua kampung) kira-kira 150 meter dari kolam udang untuk mendapatkan bantuan. Tok Atan bawa saya ke klinik berhampiran sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah," katanya.
Mohd Arshad berkata, dia telah dibenarkan keluar wad pada Khamis dan kini berehat di kediaman abangnya di kampung berkenaan.
"Alhamdulillah tahap kesihatan saya makin baik walaupun mengambil sedikit masa untuk sembuh sepenuhnya. Saya juga tidak mahu memanjangkan isu ini kerana yang terjadi dengan kuasa ALLAH SWT dan urusan saya dengan pemilik kerbau juga sudah selesai," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Roslee Othman atau Tok Atan berharap agar kejadian berkenaan tidak berulang kembali dan sewajarnya terdapat satu tempat yang dijadikan padang ragut bagi ternakan kerbau tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Gani mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada hari sama ia berlaku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!