SUKIPT 2024 lebih sengit, 231 pingat jadi rebutan
LEBIH 6,000 atlet akan berentap di Temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2024 yang membuka tirai di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah bermula hari ini hingga 14 September.
Sebanyak 76 kontinjen akan bertanding dalam 28 acara sukan di 19 gelanggang bagi merebut 231 pingat yang dipertandingkan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian menyifatkan persaingan temasya pada kali ini adalah lebih sengit berbanding penganjuran sebelumnya.
Menurutnya, kehadiran setiap kontinjen dengan jumlah atlet lebih ramai membuktikan setiap institusi pengajian tinggi (IPT) awam mahupun swasta telah melakukan persiapan awal untuk bertanding di pentas SUKIPT kali ini.
"Kalau kita tengok dari segi tradisi sejarah ada universiti tertentu yang kuat contohnya Universiti Putra Malaysia (UPM) kerana memang serius dalam membangunkan atlet mereka dan fasiliti pun cukup.
"Tapi mutakhir ini, sudah ada banyak universiti yang semakin kompetitif. Saya percaya SUKIPT memberi ruang kepada universiti lain juga untuk menonjolkan dalam sukan -sukan yang mungkin secara tradisinya di dipegang oleh universiti tertentu," katanya pada sidang akhbar pada Jumaat.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Perkampungan SUKIPT 2024 di Dewan Inasis Petronas, UUM.
Hadir sama Naib Canselor UUM, Datuk Dr Mohd Foad Sakdan.
Megat Sany berkata lagi, beliau melontarkan cabaran kepada semua atlet yang bertanding untuk memberikan aksi terbaik dan menonjolkan pontensi masing-masing.
SUKIPT 2024 mempertandingkan 28 acara iaitu aerodance, badminton, berbasikal, bola jaring, bola keranjang, bola sepak, bola tampar, catur, e-Sport, futsal, golf, hoki, karate, kayak, lawn bowls, memanah, olahraga, petanque, ping pong, ragbi 7s, renang, sepaktakraw, silat, skuasy, softbol, taekwondo, tenis dan woodball.
SUKIPT mula dipertandingkan pada 2014 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, diikuti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai pada 2016, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi (2018), dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim pada 2022 lalu.
UPM meraih tiga kejuaraan pada tahun 2012, 2018 dan 2022 diikuti UiTM yang melakar dua kejuaraan iaitu pada tahun 2014 dan 2016.
Pada hari pertama SUKIPT 2024, tiga kedudukan teratas carta menyaksikan Sunway Universiti mendahului carta dengan dua emas satu perak, diikuti Politeknik Malaysia satu emas satu perak dan UiTM dengan satu emas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!