17 perlawanan bola sepak di Jerman didakwa dimanipulasi - Laporan

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

SEBANYAK 17 perlawanan bola sepak di Jerman disyaki dimanipulasi, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik laporan akhbar Hamburger Morgenpost pada Jumaat.

Menurut laporan itu, perlawanan melibatkan divisyen ketiga, keempat dan kelima Jerman telah dimanipulasi dalam tempoh dua tahun lepas bagi tujuan penipuan pertaruhan.

Akhbar itu melaporkan Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) menyedari dakwaan berkenaan dan mengambil perkara itu "dengan sangat serius".

Dalam beberapa perlawanan yang dipersoalkan, terdapat kesilapan ketara oleh pengadil serta kesalahan serius oleh penjaga gol dan pemain pertahanan.

Maklumat mengenai keputusan perlawanan yang dijangkakan bagi 17 perlawanan itu dilaporkan ditemui di 'darknet' (web gelap), yang mungkin membolehkan keuntungan pertaruhan yang tinggi.

Sejarah sembang yang berkaitan dikatakan membuktikan perjanjian jenayah itu.

Bagaimanapun, DFB meragui bahawa perlawanan bola sepak boleh dimanipulasi untuk mencapai keputusan yang tepat.

Masih tidak jelas perlawanan yang terjejas kerana butiran mengenainya tidak didedahkan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!