'Pasar mengingatkan tentang kemiskinan' - Rozita

Rozita (kiri) menyampaikan sumbangan di Pasar Taman Sri Tanjung, Sungai Layar, Sungai Petani.
Rozita (kiri) menyampaikan sumbangan di Pasar Taman Sri Tanjung, Sungai Layar, Sungai Petani.
A
A
A

SUNGAI PETANI - "Pasar mengingatkan tentang kemiskinan."

Demikian luahan Pengasas Jamu Ratu Malaya, Rozita Ibrahim ketika ditemui melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Pasar Taman Sri Tanjung, Sungai Layar di sini pada Jumaat.

Mengenang kembali peristiwa hitam kira-kira 40 tahun lalu, Rozita berkata, dia mengunjungi pasar bagi mendapatkan ikan busuk atau sayur rosak untuk diberi makan kepada anak-anaknya akibat kesempitan hidup.

"Dulu masa saya miskin, kerja saya ialah ada tak orang buang sayur, ada tak ikan busuk untuk saya bagi anak-anak saya makan.

"Pasar ini sebenarnya mengingatkan saya tanpa ketegasan diri, saya mungkin hanya seorang tukang sapu, makcik cleaner... tapi melihat kesusahan dialami saya tegas untuk berubah," katanya.

Jelas beliau, program CSR yang menumpukan ke lokasi tumpuan pasar bertujuan menemui golongan sepertinya dahulu dengan harapan boleh menyumbang beras kepada keluarga memerlukan seterusnya dibawa pulang untuk diberi makan anak-anak.

"Saya melihat memberi makan orang itu paling besar pahalanya, boleh membahagiakan orang. Oleh itu, saya datang ke pasar setiap negeri untuk mengingatkan Rozita yang dulu.

"Hari ini apabila Rozita jadi orang korporat, biarlah menjadi seorang srikandi yang mencintai dan ikut saranan al-Quran dengan tidak meminggirkan golongan memerlukan," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Rozita (kiri) menemui penduduk tempatan yang hadir ke program CSR oleh Yayasan Bonda Rozita di Pasar Taman Sri Tanjung, Sungai Layar, Sungai Petani.
Rozita (kiri) menemui penduduk tempatan yang hadir ke program CSR oleh Yayasan Bonda Rozita di Pasar Taman Sri Tanjung, Sungai Layar, Sungai Petani.

Beliau dalam masa sama mengharapkan agar lebih ramai usahawan berjaya membantu membangunkan bangsa dan ummah dengan berinfak.

Kira-kira 500 penduduk tempatan yang hadir ke program CSR dikendalikan Yayasan Bonda Rozita itu tidak berganjak biarpun cuaca hujan sejak pagi.

Terdahulu, dalam kunjungan Rozita ke Kedah, beliau turut meluangkan masa mengunjungi sebuah pusat pemulihan akhlak dihuni individu yang pernah terjerumus dalam kegiatan jenayah dan penagihan dadah, milik persendirian.

Beliau turut menyumbangkan dana RM100,000 bagi membayar tunggakan sewa, utiliti, dan lain-lain kos melihat kepada kekurangan fasiliti selain hasrat pihak pengurusan yang mahu menaik taraf pusat pemulihan itu kerana jumlah penghuni yang melebihi kapasiti.

"Bukan senang nak pulihkan dadah...mereka ini dibuang masyarakat, rawatan mereka hebat, ada kaedah tersendiri seperti dikuarantin, berpuasa dan tekankan al-Quran dalam tempoh pemulihan. Ia bukan kerja mudah, selepas keluar dari situ mereka boleh jadi imam dan pandai hafaz al-Quran.

"Sebagai seorang ibu, nenek, usahawan dan isteri...saya sedih kalau anak tak dengar cakap tetapi saya lagi sedih bila lihat anak bangsa rosak (dadah)...saya minta berkat daripada sumbangan ini supaya ALLAH berkati agar anak-anak kita dijauhkan dari perkara tak elok," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!