Taman Industri Halal Gambang sedia terima kemasukan pelabur, pengusaha

Wan Rosdy (tengah) ketika mengadakan lawatan ke Taman Industri Halal Gambang pada Jumaat. Foto Facebook Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy (tengah) ketika mengadakan lawatan ke Taman Industri Halal Gambang pada Jumaat. Foto Facebook Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

TAMAN Industri Halal Gambang yang siap dibangunkan sedia menerima kemasukan pengusaha dan pelabur.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, taman industri berkeluasan 38 hektar itu fokus kepada industri pemprosesan makanan halal, produk asas tani, produk berasaskan daging, farmaseutikal, nutraseutikal, logistik dan rantaian bekalan serta pertanian berteknologi tinggi.

Menurutnya, bagi memastikan taman industri itu dapat beroperasi dengan baik, kerajaan negeri Pahang dan Majlis Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah bekerjasama dalam menyediakan infrastruktur yang mesra pelabur serta menawarkan pelbagai inisiatif termasuk pengecualian cukai selama 10 tahun.

"Saya telah meminta ECERDC dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) berbincang bagi menetapkan tarikh yang sesuai agar pengusaha dan pelabur dapat beroperasi di taman industri ini dalam tempoh setahun.

"Selain itu, Kuantan Port Konsortium juga sedia bekerjasama dalam menyediakan pelabuhan logistik halal bagi memudahkan produk-produk yang dihasilkan di taman industri ini dapat dieksport ke luar negara," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Wan Rosdy berkata, pembangunan Taman Halal Gambang itu diharap dapat disegerakan dan ditambah baik bagi menarik lebih ramai pelabur dan pengusaha.

"Saya sendiri akan memantau pelaksanaan pembangunan taman industri halal ini.

"Semoga hasrat itu dapat direalisasikan sebagai pemangkin untuk menarik lebih ramai pelabur serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi di Pahang sekali gus memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!