Bonnie menang emas Paralimpik, pecah rekod dunia
ATLET powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin membuktikan kejaguhannya apabila mempertahankan pingat emas Sukan Paralimpik 2024 di Paris selepas mengungguli kategori 72 kilogram (kg) lelaki sebentar tadi.
Kejayaan tersebut hadir selepas atlet berusia 25 tahun itu berjaya mengangkat bebanan 232 kilogram (kg) dalam acara yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena, Paris.
Malah lebih menakjubkan badang dari Sarawak itu turut membaharui rekod dunia 232kg memadam rekod lama beliau 231kg.
Kejayaan tersebut sekali gus menjadi pingat emas kedua buat kontinjen negara selepas jaguh badminton para, Cheah Liek Hou menyumbang emas pertama dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) Isnin lalu.
Bonnie mengenepikan cabaran Hu Peng dari China yang memenangi perak menerusi bebanan 214kg, manakala Donato Telesca dari Itali terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas mengangkat bebanan 213kg.
Badang kerdil itu memulakan saingan dengan bebanan 221kg bagi angkatan pertama sebelum menambah berat kepada 226kg untuk angkatan seterusnya.
Bonnie kemudian mengesahkan emas miliknya apabila berjaya mengangkat bebanan 232kg bagi angkatan terakhir.
Beliau yang membuat penampilan pertama Sukan Paralimpik bagi edisi 2020 di Tokyo berjaya meraih emas setelah mengangkat bebanan 228kg pada angkatan ketiga bagi memadamkan rekod sebelum ini 225kg.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!