Tiga hala tuju untuk dicapai DAP Kedah - Kah Woh

Kah Who (empat dari kanan), Kok Yew (tiga, kanan) dan Swee Leong (dua, kiri) bersama ahli DAP dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) Kedah.
Kah Who (empat dari kanan), Kok Yew (tiga, kanan) dan Swee Leong (dua, kiri) bersama ahli DAP dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - DAP Pusat menggariskan tiga hala tuju penting untuk dicapai di peringkat negeri agar parti itu kembali kukuh di Kedah.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Wong Kah Woh berkata, DAP Kedah perlu kembali mengukuhkan organisasi dengan menarik lebih ramai anak muda menyertai perjuangan parti itu.

Menurutnya, pada masa sama, pendidikan politik harus lebih giat diterapkan kepada semua lapisan masyarakat untuk memastikan setiap pimpinan dan ahli memahami perjuangan dan falsafah parti.

“Aspek ketiga yang tidak kurang penting ialah teruskan berkhidmat kepada rakyat

walaupun DAP hanya mempunyai seorang ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) di Kota Darul Aman. Hanya dengan perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat akan membuktikan DAP sentiasa bersama rakyat, ia akan membuka peluang cerah untuk kembali kuat di negeri ini,” katanya selepas merasmikan Konvensyen biasa DAP Kedah di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew dan ADUN Kota Darul Aman, Teh Swee Leong.

Pada pemilihan tersebut, Kok Yew kekal menerajui DAP Kedah bagi penggal 2024-2026, sementara Swee Leong dilantik sebagai Setiausaha.

Dalam pada itu, Kah Woh yang merupakan Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP turut mengingatkan DAP Kedah agar tidak patah semangat biarpun bergelar pembangkang di Kedah kerana parti itu merupakan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

“DAP bermula sebagai blok pembangkang, di Kedah hanya ada seorang ADUN. Saya harap semua ahli bersatu padu dan pastikan perjuangan diteruskan untuk kebajikan rakyat dan kepentingan negara.

“Kita berjaya bangkit dengan usaha gigih ahli-ahli semua, dan menjadi kerajaan negeri di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kedah pada tahun 2008,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Kah Woh yang juga Timbalan Menteri Pendidikan memaklumkan, prestasi negara semakin memberangsangkan selepas ditadbir Kerajaan Madani.

“Negara kini berada di landasan tepat. Selepas diluncurkan kerangka ekonomi pada Julai 2023 kita membuktikan Kerajaan Madani mempunyai satu hala tuju ekonomi yang kukuh.

“Pencapaian kerangka ekonomi tersebut membolehkan negara berjaya menarik dua pelaburan penting, iaitu Google dan Microsoft mencecah lebih AS$4.2 bilion.

“Negara juga mencatatkan pertumbuhan ekonomi positif bagi suku tahun kedua 2024 dengan 5.9 peratus, melepasi sasaran ditetapkan (5.8 peratus),” ujarnya.

Menurutnya lagi, negara juga berjaya mengukuhkan kedudukan ringgit selain nilai mata wang ringgit kembali stabil.

“Pencapaian ini berjaya mengangkat imej negara di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!