Pejabat Ahli Parlimen Ipoh Timor tawar kursus TVET di China

Howard Lee. Foto Bernama
Howard Lee. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Sebanyak 20 penyertaan dibuka kepada mana-mana individu yang berminat untuk mengikuti kursus penjagaan dan pengurusan luka di Kolej Teknikal dan Vokasional Anshun, China pada 23 hingga 30 September ini.

Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee Chuan How berkata, tawaran itu dibuka kepada mereka berusia 18 hingga 40 tahun dan sekiranya berminat bolehlah menghubungi Pejabat Ahli Parlimen Ipoh Timor bagi melakukan pendaftaran yang dibuka bermula 6 hingga 12 September ini.

"Sebanyak 20 kekosongan kita buka kepada individu berkelayakan untuk menyertai kursus ini yang ditaja sepenuhnya Pejabat Ahli Parlimen Ipoh Timor dan kerajaan China.

"Antara syarat kelayakan pendaftaran adalah individu berumur 18 hingga 40 tahun serta mempunyai pengalaman dalam gerakan kerja amal yang ada kaitan dengan Bulan Sabit Merah, St John Ambulance Malaysia, Bomba Sukarela dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Ipoh Timor di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, M Thulsi dan Pengarah Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Aldrin Ng.

Howard berkata, tujuan utama kursus itu dilaksanakan adalah untuk memberi pendedahan serta memperkasakan bidang berkenaan yang tertakluk di bawah program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

"Ini merupakan objektif utama kita iaitu selain mengukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, program seumpama ini juga dilihat berperanan dalam membantu memperkasakan program TVET di Malaysia,” katanya.

Ditanya tentang pemilihan China sebagai lokasi kursus, beliau berkata, kemudahan serta kecanggihan teknologi menjadi antara faktor yang menyebabkan usahasama ini dilaksanakan dengan negara Tembok Besar itu.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini, China antara negara yang mempelopori bidang TVET dan saya fikir peluang ini harus digunakan sebaiknya bagi menajamkan lagi kemahiran serta pengetahuan mereka yang terpilih nanti,” katanya.

Sementara itu, Thulsi berkata, peluang diwujudkan itu seharusnya digunakan sebaiknya oleh mana-mana individu berminat bagi menambah pengetahuan dalam bidang berkenaan.

"Peluang seumpama ini tidak harus dilepaskan kerana ia tidak selalu datang dan mereka yang terpilih nanti diharap menggunakan peluang berkenaan sebaiknya dalam menambah pengalaman dalam bidang itu,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!