Empat rakan sorok dua mayat dipenjara 20 bulan
MELAKA - Empat rakan dijatuhi hukuman penjara 20 bulan selepas didapati bersalah menyembunyikan kematian dua lelaki di dalam semak di tepi jalan Kampung Ujong Padang, di Cheng.
Tertuduh, Lok Kian Seng, 48; Daniel Ho Chin Cher, 34; Woon Chee Weng, 45 dan Lim Chien Voon, 42, membuat pengakuan bersalah sebaik dua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didapati bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, dengan sengaja dan mempunyai sebab untuk menghilangkan keterangan bagi suatu kesalahan dengan menyembunyikan kematian dua lelaki iaitu Stanley Chew Kok Kin, 23, dan Soo Yao Long, 26.
Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah rumah bernombor di Taman Paya Rumput Perdana, di sini, antara 7 sehingga 10 Julai tahun lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun dan dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Peguam Nahdan Rengganathan Abdullah yang mewakili Daniel dan Chien Voon merayu hukuman ringan kerana anak guamnya masing-masing bekerja sebagai penjual buah serta penghantar makanan.
Hujahnya lagi, mereka juga mengalami tekanan mental selepas dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan ketika sebutan pertama pada 11 Ogos tahun lalu.
Manakala Kian Seng diwakili Peguam Asyraaf Abu Bakar Hamzah dan Chee Weng tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan kerana mengakui mereka menanggung keluarga.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal diberikan terhadap mereka kerana perbuatan tertuduh membuang mayat tersebut menyebabkan polis kehilangan peluang mencari punca kematian mangsa.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman 20 bulan penjara daripada tarikh tertuduh ditangkap dengan tiga tertuduh ditahan pada 20 Julai 2023 dan Chien Voon ditahan pada 23 Julai 2023.
Sinar Harian pada 10 Julai lalu melaporkan mayat dua lelaki yang dibungkus dalam kanvas ditemui di dalam semak di tepi Jalan Kampung Ujong Padang, Cheng.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata, kedua-dua mayat itu ditemui pada jam 9 pagi oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan sebelum memaklumkan mengenainya kepada polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!