Kerajaan disaran ambil langkah sementara kekang buli siber

Choo Seong. Foto Facebook Neow Choo Seong
Choo Seong. Foto Facebook Neow Choo Seong
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disarankan supaya mengambil langkah sementara yang tegas terutama dari aspek penguatkuasaan bagi mengekang kejadian buli siber sebelum Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian diwartakan.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, proses untuk mewartakan apa jua RUU memerlukan tempoh masa tertentu kerana ia perlu dibahas dan diputuskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara, sebelum diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Sebagaimana statistik yang direkodkan bermula 1 Januari hingga 15 November tahun lalu, TikTok merupakan antara platform paling banyak mempunyai kandungan hantaran berkaitan buli siber, diikuti Facebook, aplikasi X, Instagram dan YouTube.

“Ini sangatlah membimbangkan, tambahan pula platform media sosial kini semakin popular terutama di kalangan belia, termasuk kanak-kanak yang mudah terdedah dengannya,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.

Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian yang dijangka di bentang Oktober depan, bersifat menyeluruh dan mengambil kira jenayah siber yang mungkin berlaku termasuk melibatkan kanak-kanak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penggunaan wajah video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa dikhuatiri akan menjadi mangsa penggunaan kecerdasan buatan (AI), sekali gus menjadi sasaran pedofil.

Ujar beliau, langkah kerajaan dalam membentangkan RUU Keselamatan Dalam Talian di Dewan Rakyat itu adalah tepat pada masanya.

Menurut Choo Seong, kerajaan turut dicadangkan supaya meningkatkan kempen kesedaran kepada orang ramai mengenai jenayah buli siber.

Artikel Berkaitan:

Ulasnya, pelaksanaan kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang bahaya buli siber, mendidik masyarakat tentang kesan dan langkah pencegahannya.

“Program di sekolah-sekolah mestilah memberi tumpuan kepada keselamatan dalam talian, memastikan pelajar memahami risiko dan tanggungjawab yang berkaitan dengan penggunaan internet.

“Selain itu, ibu bapa juga harus memantau aktiviti anak masing-masing serta mendidik mereka tentang penggunaan internet yang betul,” ujarnya.

Tambah beliau, isu berkaitan kesihatan mental dalam kalangan masyarakat juga tidak boleh diabaikan.

“Khidmat bantuan dan kaunseling yang khusus perlu disediakan kepada mangsa buli siber bagi memastikan mereka menerima sokongan tepat pada masanya,” menurutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!