Amuk, ugut ibu kerana tak dapat duit beli dadah
KEPALA BATAS - Seorang lelaki mengamuk dengan menterbalikkan meja makan, membaling topi keledar serta mengugut mahu memukul ibunya selepas permintaannya untuk mendapatkan wang membeli dadah tidak diendahkan dalam kejadian di Kampung Setol, Tasek Gelugor di sini petang semalam.
Difahamkan kejadian jam 2.30 petang itu bukan kali pertama berlaku, tetapi kali ini suspek yang berusia 25 tahun itu bertindak lebih agresif sehingga menimbulkan ketakutan kepada ibu kandungnya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika kejadian hanya mangsa bersama cucunya berusia lapan tahun berada di rumah.
"Selepas suspek mengamuk, mereka kemudiannya melarikan diri ke rumah jiran sebelum menghubungi suaminya.
Menurutnya, suami mangsa kemudiannya membuat laporan di balai polis bagi sebelum sepasukan polis ke lokasi kejadian untuk menangkap suspek.
"Lelaki berkenaan berjaya ditenangkan sebelum dia ditahan. Polis turut merampas topi keledar yang digunakan suspek untuk mengugut ibunya.
"Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan tiada rekod kesalahan lampau kes dadah atau jenayah lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Noorzainy berkata, suspek kini direman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!