Murid Tahun 2 ditampar guru kerana salah barisan

Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang guru menampar murid lelaki Tahun Dua semasa latihan sukan di padang sebuah sekolah.
Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang guru menampar murid lelaki Tahun Dua semasa latihan sukan di padang sebuah sekolah.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang guru menampar murid lelaki Tahun Dua semasa latihan sukan di padang sebuah sekolah kebangsaan di sini, seperti tular di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintenden, Mohd Ambia Nordin berkata, laporan kejadian itu dibuat wanita yang juga ibu kepada kanak-kanak berusia lapan tahun itu pada Khamis.

Menurut beliau, kejadian disedari ibu mangsa semasa ingin mengambil anaknya di hadapan sekolah pada jam 5.50 petang.

"Ibu mangsa mendapati pipi sebelah kanan anaknya ada kesan bengkak dan anaknya mengadu pipinya sakit," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Ambia berkata, kanak-kanak itu kemudiannya memaklumkan kepada ibunya dia telah ditampar seorang guru lelaki semasa berada di sekolah.

"Wanita itu kemudiannya membawa anaknya ke klinik dan doktor memberitahu pipi mangsa sakit disebabkan kesan dipukul dan telah mengeluarkan laporan perubatan," ujar beliau.

Beliau memberitahu, siasatan polis mendapati kejadian berlaku di padang sekolah selepas mangsa selesai latihan rumah sukan dan diminta untuk beratur mengikut kelas masing-masing sebelum pulang ke rumah.

"Semasa sedang beratur, mangsa telah tersalah kelas dan telah masuk ke kelas lain, manakala kelas mangsa berada di barisan sebelah.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa ingin masuk ke dalam barisan kelasnya semula dan semasa sedang berjalan untuk masuk ke dalam barisan kelas, guru terbabit telah menampar mangsa dengan menggunakan tangan kanan dan telah tampar secara 'backhand' sebanyak sekali," tambah beliau.

Menurut Mohd Ambia, mangsa menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang dan doktor mengesahkan terdapat ‘soft tissue Injury’.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut kes ini mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan," tambah beliau.

Terdahulu tular di media sosial apabila pemilik akaun dipercayai datuk kepada mangsa memaklumkan cucunya ditampar oleh seorang guru di sekolah berkenaan.

Datuk kepada kanak-kanak terbabit juga meminta ibu bapa yang pernah dikasari guru terbabit tampil membuat laporan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!