Kerajaan harus bertindak segera selesai konflik Laut China Selatan - AMK Selangor

Laporan Sinar Harian pada Khamis. (Gambar kecil: Khairul Naim Rafidi)
Laporan Sinar Harian pada Khamis. (Gambar kecil: Khairul Naim Rafidi)
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor memandang serius isu berhubung dengan konflik Laut China Selatan terutama apabila berlaku kebocoran Nota Diplomatik daripada Kementerian Luar China kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing yang dilaporkan baru-baru ini.

Ketua Biro Undang-undang AMK Selangor, Khairul Naim Rafidi berkata, lebih membimbangkan, terdapat laporan bahawa China bertegas hampir keseluruhan Laut China Selatan termasuk Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) seluas 200 batu nautika yang dikongsi Malaysia, Filipina, Brunei, Taiwan dan Vietnam adalah di bawah kedaulatannya sebelum ini.

Jelasnya, AMK Selangor menyokong penuh ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil keputusan tidak akan menghentikan operasi meneroka kawasan berpotensi mempunyai minyak dan gas di Laut China Selatan meskipun wujud bantahan dari China.

"Walau bagaimanapun, AMK Selangor turut ingin menyuarakan kebimbangan berkenaan isu ini kerana ia melibatkan hak kedaulatan dan kepentingan maritim di Malaysia.

"Dalam hal ini, kepentingan dan kedaulatan kawasan maritim Malaysia harus dipertahankan berdasarkan Peta Malaysia 1979. Hal ini selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

"Kita tidak boleh mengambil sikap terlalu yakin dalam hal ini kerana kita sudah tidak mampu untuk melihat kesilapan seperti dalam isu Batu Puteh berlaku lagi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Khairul Naim mengulas lanjut berkata, AMK Selangor melihat bahawa isu tersebut harus diberikan keutamaan oleh kerajaan dengan melihat kepada sikap China yang semakin agresif dalam tuntutannya kebelakangan ini sehingga membina pengkalan tentera di Kepulauan Spratly.

Sehubungan dengan itu, ujarnya, AMK Selangor berharap agar kerajaan menggunakan peluang giliran Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun hadapan untuk menyelesaikan konflik ini kerana ASEAN mampu menjadi wadah terbaik bagi berbincang dan mencari pendekatan terbaik tanpa konflik yang lebih parah demi kestabilan dan kemakmuran ekonomi di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!