Harimau Malaya selesa taktikal Pau Marti - Safawi
TAKTIKAL permainan diterap ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente berjaya dihadam sebaiknya barisan pemain negara bagi mengharungi aksi final Pestabola Merdeka 2024 menentang Lubnan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Ahad ini.
Perkara itu diakui sendiri pemain sayap Muhammad Safawi Rasid yang menyifatkan pasukan kebangsaan memiliki peluang cerah serta sedia menutup tirai saingan edisi ke-43 itu dengan nota kemenangan.
“Bagi saya dan pasukan semua boleh ikut formasi taktikal jadi tiada masalah. Kami hanya ikut sahaja arahan daripada jurulatih.
“Kita lapor diri dengan dia pun tak sampai satu minggu berlatih tapi boleh kata dah ada banyak juga keserasian jadi beri masa lagi dan kita akan jadi lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Jumaat.
Safawi muncul antara watak penting kebangkitan Malaysia menewaskan Filipina 2-1, menyifatkan gol kemenangan dijaringkannya pada saingan Pestabola Merdeka 2024 itu menambah lagi motivasi diri memperaga aksi lebih baik pada aksi final nanti.
“Bagus untuk keyakinan diri saya pada final nanti kalau diturunkan jadi lagi teruja lah untuk bermain,” katanya. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!