[VIDEO] '13 tahun tunggu zuriat, baru lima hari hantar taska bayi maut'

A
A
A

ALOR GAJAH - Betapa hancurnya hati pasangan suami isteri apabila zuriat yang ditunggu selama 13 tahun maut di taman asuhan kanak-kanak (taska) dalam keadaan menyayat hati pada pagi Jumaat.

Lebih menyedihkan, bayi lapan bulan, Muhammad Al Fateh Fikry Amri itu baru lima hari dihantar ke taska di Taman Kelemak Utama.

Bapa mangsa, Mejar Ir TS Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, yang berkhidmat di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur berkata, disebabkan kesukaran untuk mendapatkan zuriat, isterinya, Sabrina Hakiem Zaini, 39, yang bertugas sebagai guru sanggup mengambil cuti tanpa gaji selama setahun.

Sabrina (kiri) ketika menerima kehadiran sanak saudara di Unit Forensik Hospital Alor Gajah pada Jumaat.
Sabrina (kiri) ketika menerima kehadiran sanak saudara di Unit Forensik Hospital Alor Gajah pada Jumaat.

Menurutnya, bayinya baru lima hari dihantar ke taska berkenaan memandangkan cuti tanpa gaji isteri hampir habis.

"Baru hantar lima hari sebab cuti isteri hampis habis," katanya dalam nada sedih ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Alor Gajah, di sini pada Jumaat.

Mohd Fikry berkata, kebiasaannya dia yang bertugas di Sungai Besi akan pulang ke Melaka pada Sabtu dan Ahad disebabkan perhubungan jarak jauh (PJJ).

Artikel Berkaitan:

Mohd Fikry Amri (tengah) tidak dapat menahan sebak selepas keluar dari bilik Unit Forensik Alor Gajah pada Jumaat.
Mohd Fikry Amri (tengah) tidak dapat menahan sebak selepas keluar dari bilik Unit Forensik Alor Gajah pada Jumaat.

"Pagi sebelum kejadian saya tengok video dia sihat sebelum dimaklumkan berita sedih itu.

"Lebih memilukan ibunya terpaksa membawa sendiri bayi ke hospital dalam keadaan terkulai dan tidak sedarkan diri dengan keadaan mulut berdarah dan muka biru," katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan seorang bayi lelaki berusia lapan bulan dipercayai meninggal dunia di sebuah Taska di Kelemak, di sini.

Difahamkan mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati pasukan forensik tiba di taska terbabit pada jam 7.05 petang tadi bagi melakukan pemeriksaan lanjut berhubung kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!