Bayi maut di taska: Polis tahan pengasuh wanita
MELAKA - Polis menahan seorang pengasuh wanita disyaki mengakibatkan kematian seorang bayi lelaki di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Kelemak Alor Gajah di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, wanita berusia 34 tahun dan beralamat di Endau, Johor ditahan di taska terbabit kira-kira jam 3.30 petang oleh anggota polis Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-kanak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
"Suspek yang telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak akan ditahan reman di Mahkamah Melaka pada pagi Sabtu bagi membantu siasatan berhubung kematian bayi tersebut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada lewat malam Jumaat.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seorang bayi lelaki berusia lapan bulan, Muhammad Al Fateh Mohd Fikry Amri dipercayai meninggal dunia di sebuah taska.
Sinar Harian turut melaporkan bapa kepada bayi itu, Mejar Ir TS Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, terkilan dan sedih kerana bayi yang baru lima hari dihantar ke taska berkenaan didakwa dibedung, disumbat botol susu, tutup dengan kain dan tekup dengan bantal oleh suspek.
Mohd Fikry Amri yang berkhidmat di Kem Perdana Sungai Besi berkata, tindakan tidak berperikemanusiaan pengasuh di taska itu terhadap bayinya itu dilihat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat jagaan itu bersama pihak polis.
Lebih memilukan, ibunya terpaksa membawa sendiri bayi ke hospital dalam keadaan terkulai dan tidak sedarkan diri dengan keadaan mulut berdarah dan muka biru.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!