Pemanasan global turut jadi punca

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Suhu di Cameron Highlands pada masa kini sudah kurang sejuk kerana turut berkait rapat dengan isu pemanasan global.

Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan dan Institut Sains Samudera dan Bumi, Universiti Malaya, Profesor Emeritus Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, suhu dunia secara global meningkat 0.06 darjah Celsius dalam tempoh 10 tahun.

Menurut beliau, kajian Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) juga membuktikan suhu dunia telah meningkat sebanyak satu darjah Celcius sejak 1880.

“Jadi adakah pemanasan di Cameron Highlands lebih dari trend ini? Satu lagi ialah disebabkan pembangunan iaitu kesan urban heat island yang lebih berkait dengan satu kawasan bandar,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, bertambahnya kawasan konkrit turut memerangkap haba yang menyebabkan siang lebih panas dari kawasan berpokok.

“Malam pula jadi kurang sejuk kerana kawasan konkrit akan membebaskan haba yang disimpan masa siang hari.

“Jadi perbezaan suhu antara malam dan siang dikurangkan oleh hutan konkrit berbanding dengan hutan pokok,” jelasnya.

Sementara itu, Felo Akademi Sains Malaysia, Dr Fredolin Tajudin Tangang berkata, bagi kes Cameron Highlands, peningkatan suhu setinggi dua darjah Celsius berlaku sejak sedekad lalu.

Artikel Berkaitan:

“Sejak 50 tahun lalu secara amnya peningkatan suhu di Malaysia ada sekitar satu darjah Celsius.

“Bagi tempoh masa sedekad peningkatan dua darjah Celsius, dari kajian tersebut menunjukkan faktor guna tanah dan pembangunan boleh meningkatkan suhu pada kadar lebih tinggi berbanding pemanasan global,” ujarnya

Pada Jumaat Sinar Harian melaporkan Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach), A Dilip Martin berkata, perubahan suhu paling ketara dapat dilihat dalam tempoh lima ke enam tahun kebelakangan ini apabila banyak pembukaan tanah-tanah baharu dilakukan.

Menurutnya, suhu dingin pada waktu siang di kawasan itu kini hanya mencapai 24 darjah Celsius berbanding suhu sejuk 20 ke 21 darjah Celsius sebelum ini.

Beliau mendakwa keadaan itu berpunca daripada pembangunan bagi tujuan aktiviti pertanian, eko pelancongan dan premis perniagaan menyaksikan banyak kawasan hijau dan pokok-pokok yang sepatutnya berperanan sebagai ‘pendingin hawa’ semula jadi terpaksa dimusnahkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!