Ujian sebenar Pau Marti

Laporan Sukan Sinar pada Jumaat. (Gambar kecil: Razman)
Laporan Sukan Sinar pada Jumaat. (Gambar kecil: Razman)
A
A
A

JURULATIH bola sepak negara, Pau Marti Vicente bakal berdepan ujian sebenar menentang Lubnan dalam aksi final Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ahad.

Bekas pemain kebangsaan, Razman Roslan berkata, selepas lulus ujian pertama menewaskan Filipina 2-1 Rabu lalu, pertemuan menentang pasukan ke-116 dunia itu dilihat lebih mencabar.

Beliau berkata, ia berdasarkan prestasi semasa yang dipamerkan skuad bimbingan Miodrag Radulovic itu ketika menumpaskan juara bertahan, Tajikistan 1-0 baru-baru ini.

"Prestasi Lubnan lebih baik berbanding Malaysia. Biarpun kita menang ke atas Filipina, namun banyak lagi kelemahan yang perlu dibaiki.

"Aksi pasukan kebangsaan pada separuh masa pertama kurang menyerlah. Perubahan taktikal dilakukan apabila beberapa pemain baharu dibawa masuk pada babak kedua.

"Situasi itu mengubah corak permainan dan kita menang. Namun untuk berdepan Lubnan para pemain perlu meningkatkan lagi prestasi mereka," katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Razman juga melihat perlawanan akhir tersebut sebagai pentas terbaik buat skuad Harimau Malaya mengubat kecewa setelah tewas kepada Tajikistan 0-2 pada edisi lalu.

Justeru, beliau berharap para pemain dapat memperagakan aksi terbaik dan bertenaga untuk memastikan trofi menjadi milik Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Buat yang terbaik dan pamer semangat juang tinggi. Kekalahan pada aksi final musim lalu menjadi motivasi untuk bangkit kali ini," katanya.

Beliau juga percaya barisan kejurulatihan mempunyai perancangan tersendiri dan sedar dengan cabaran sukar yang bakal dihadapi.

"Saya berpandangan Sapawi (Rasid) dan Endrick (Dos Santos) wajar dimasukkan dalam kesebelasan utama. Watak mereka penting mengubah corak permainan pasukan negara ketika menewaskan Filipina beberapa hari lalu," katanya.

Aksi final dijadual bermula pada jam 9 malam, manakala Tajikistan dan Filipina akan membuat perhitungan untuk tempat ketiga dan keempat pada jam 4.30 petang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!