200,000 dos vaksin Mpox tiba di DRC
KINSHASA - Pusat wabak Mpox atau cacar monyet, Republik Demokratik Congo (DRC) telah menerima vaksin pertamanya pada Khamis iaitu hampir 200,000 dos yang disumbangkan oleh Kesatuan Eropah (EU).
DRC telah merekodkan lebih 19,000 kes Mpox dan 650 kes, jumlah terbaharu yang diterbitkan Kementerian Kesihatan.
"Vaksin telah tiba di DRC. Ia kini dalam perjalanan ke kawasan penyimpanan dan kempen vaksinansi harus dimulakan pada akhir bulan ini," kata Ketua Badan Kesiapsiagaan dan Tindakbalas Kecemasan Kesihatan EU (HERA), Laurent Muschel kepada AFP.
Menteri Kesihatan Congo, Samuel-Roger Kamba dan Muschel hadir di lapangan terbang Kinshasa apabila pesawat yang membawa 99,100 dos vaksin mendarat pada Khamis.
Dos tersebut meninggalkan ibu negara Denmark, Copenhagen pada petang Rabu.
"Ini adalah vaksin mahal yang tidak boleh kami beli sebagai sebuah negara... yang kami perlu perjuangkan untuk mendapatkannya," kata Kamba.
Mpox disebabkan oleh virus yang disebarkan kepada manusia oleh haiwan yang dijangkiti tetapi juga boleh disebarkan dari individu ke individu melalui sentuhan fizikal.
Kadang-kadang membawa maut dan gejalanya seperti demam, sakit otot dan lesi kulit yang besar seperti bisul.
Difahamkan, baki daripada 200,000 dos yang disumbangkan oleh EU akan tiba di Kinshasa pada hari Sabtu ini.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan kecemasan antarabangsa pada 14 Ogos yakni bimbang dengan lonjakan kes strain Clade 1b baharu di DRC yang merebak ke negara yang berhampiran.
Muschel berkata, kira-kira 560,000 dos akan diberikan oleh EU dan beberapa negara anggotanya kepada DRC dan negara lain yang terjejas.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC), Mpox kini muncul di 13 negara Afrika, termasuk Burundi, Congo-Brazzaville dan Republik Afrika Tengah.
Vaksin yang tiba di DRC minggu ini didatangkan dari makmal farmaseutikal Denmark Bavarian Nordic.
Ia adalah satu-satunya vaksin yang diluluskan di Eropah serta Amerika Syarikat dan hanya ditujukan untuk kegunaan orang dewasa. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!