Aplikasi IKNOW bukti Indonesia makin maju

Istana Presiden menggabungkan ciri binaan yang menampilkan aspirasi moden dan warisan budaya.
Istana Presiden menggabungkan ciri binaan yang menampilkan aspirasi moden dan warisan budaya.
A
A
A

JAKARTA - Projek pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) yang baru 15 peratus siap telah mengeluarkan aplikasi telefon pintar yang membolehkan penduduk untuk mengakses perkhidmatan awam hanya di hujung jari.

Pelbagai ciri baharu masih ditambah secara berperingkat pada aplikasi IKNOW tersebut yang diperkenalkan pada Februari lalu.

Pengguna sudah boleh menggunakan perkhidmatan asas seperti kecemasan dan navigasi di bandar hijau seluas 250,000 hektar tersebut.

Aplikasi itu dianggap unik kerana ia sudah tersedia ketika IKN masih dalam fasa pembinaan.

Pelbagai ciri baharu masih ditambah secara berperingkat pada aplikasi tersebut yang diperkenalkan pada Februari lalu.
Pelbagai ciri baharu masih ditambah secara berperingkat pada aplikasi tersebut yang diperkenalkan pada Februari lalu.

Buat masa ini, ia hanya mempunyai sejumlah kecil pengguna memandangkan IKN masih belum berpenghuni sepenuhnya.

Ketika sambutan ulang tahun ke-79 Hari Kemerdekaan pada 17 Ogos lalu, pengunjung yang hadir dikatakan boleh menggunakan aplikasi bagi mendapatkan akses internet dan maklumat tentang acara itu selain pemberian diskaun untuk membeli-belah.

Ciri tambahan lain yang dapat digunakan pada masa akan datang adalah seperti stesen mengecas kenderaan elektrik, mengenal pasti perkhidmatan awam seperti pusat kesihatan dan mendapatkan maklumat terkini.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pejabat Pengurusan Projek Bandar Pintar di bawah Pihak Berkuasa IKN, Oscar berkata, objektif utama IKNOW adalah untuk menawarkan perkhidmatan awam yang tidak digeneralisasikan dan mesra pengguna.

IKN yang terletak sejauh lebih 1,000 kilometer di timur laut Jakarta pada awalnya dijangka mempunyai kira-kira 10,000 penghuni dalam kalangan penjawat awam.

Pelan asal untuk memindahkan hampir 33,000 penduduk ke IKN juga terpaksa ditangguhkan kerana kompleks perumahan dan infrastruktur digital belum siap sepenuhnya bagi memastikan perpindahan berjalan lancar.

IKN masih mengekalkan landskap hijau.
IKN masih mengekalkan landskap hijau.

Jumlah penduduk yang tidak mencapai jangkaan awal tidak menghentikan pembangunan IKNOW berikutan salah satu matlamat di bawah projek itu adalah untuk menghasilkan platform identiti digital buat populasi di IKN.

“Aplikasi itu boleh menyimpan maklumat peribadi yang tidak akan bercampur-aduk dengan perkhidmatan ditawarkan pemerintah.

“Sebaik sahaja ia mengenal pasti pengguna, IKNOW akan memberi cadangan tentang tempat makan yang menarik untuk dikunjungi selain membantu mereka membuat bayaran cukai.

“Butiran tentang tawaran perkhidmatan secara menyeluruh masih dalam peringkat perancangan,” jelas Oscar sambil menambah mereka masih perlu menganalisis maklumat berkaitan tentang pengguna.

Sambutan ulang tahun ke-79 Hari Kebangsaan diadakan buat pertama kali di IKN pada 19 Ogos lalu.
Sambutan ulang tahun ke-79 Hari Kebangsaan diadakan buat pertama kali di IKN pada 19 Ogos lalu.

Bakal jadi kota cerdas

Di bawah projek IKN, penduduk Nusantara akan terlibat secara aktif dalam proses perancangan dan pembangunan bandar.

Pada Mei lalu, laman berita GovInsider memetik kenyataan Pengarah Pembangunan Ekosistem Digital Nusantara, Tonny Setiono melaporkan penduduk juga boleh mengemukakan aduan dan cadangan menerusi IKNOW.

“Ia juga akan memudahkan golongan peniaga untuk memohon lesen,” ujarnya.

Difahamkan, pasukan pembangunan aplikasi itu sering berhubungan dengan bakal penghuni IKN untuk memahami keperluan mereka.

Sebagai contoh, ada penduduk yang berminat untuk mengenali spesies haiwan asli di IKN dan ia akan dikongsikan melalui ciri tambahan yang bakal memberi notifikasi tentang lokasi dan maklumat tentangnya.

Pihak Berkuasa IKN turut bekerjasama dengan pasukan teknologi dan rakan kongsi antarabangsa lain untuk merealisasikan IKN sebagai kota cerdas.

Antara pasukan yang terlibat adalah dari Singapura, namun butiran tentang projek itu tidak didedahkan kepada umum.

“Singapura mempunyai Marina Bay Sands (MBS) yang menjadi mercu tanda kebanggaan mereka. Saya mahu orang melihat Indonesia seperti itu untuk tempoh 10 tahun lagi. Mereka pastinya terpesona dengan teknologi yang dibangunkan di IKN.

“Saya berharap dapat bekerjasama dengan banyak pihak lagi untuk membina masa depan negara tercinta kami,” jelas Tonny lagi. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!