Seronoknya poligami, peritnya perceraian
KITA ingin mengucapkan tahniah dan selamat pengantin baharu kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang kini sudah beristeri dua.
Sudah sekian lama spekulasi perkahwinan beliau ini bertebaran di media-media sosial dan bagi media-media arus perdana pula kita tidak melaporkan khabar angin yang bertebaran itu.
Sehinggalah timbul dakwaan dan fitnah yang tidak enak didengar di media-media sosial. Jadi memang elok sangatlah, Sanusi tampil membuat penjelasan mengenai desas-desus perkahwinan beliau.
Sebab itulah perkara-perkara yang baik ini, jangan disembunyi-sembunyikan, tetapi lainlah kalau perkahwinan itu tidak dapat restu isteri pertama. Memang boleh jadi perang dunialah jawabnya.
Tahap 'mahaguru'
Kita juga pujilah dengan Sanusi sebab perkahwinan pertama itu, bukan sahaja direstui malah isteri pertama sendiri yang meminang isteri kedua.
Ini memang sudah tahap 'mahaguru' dan dicemburui oleh ramai golongan lelaki yang mengimpikan perkara yang serupa.
Malangnya ada yang marah dan tidak puas hati apabila media arus perdana melaporkan berita perkahwinan tersebut dengan hujah, ia adalah sesuatu yang peribadi dan tidak perlu diperbesarkan.
Bagi media arus perdana, Sanusi ini insan istimewa kerana beliau bukan sahaja popular dalam kalangan kawan dan lawan terutama apabila berada di atas pentas politik.
Saya secara peribadi merasakan Sanusi akan mempunyai bintang yang amat cerah dalam politik negara dan sekarang pun, beliau sudah menjadi seorang menteri besar, satu jawatan paling tinggi di sebuah negeri.
Mungkin jika beliau ditakdirkan bertanding untuk kerusi Parlimen dan Pas menang besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-16, saya amat yakin Sanusi ini boleh dilantik untuk menjawat jawatan sebagai menteri Kabinet.
Begitulah istimewanya, insan bernama Sanusi pada pandangan mata saya dan beliau juga sama seperti artis-artis tempatan yang kehidupan mereka juga sentiasa mendapat perhatian peminat.
Cuma dalam kisah melayari kehidupan berumah tangga, pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof sempat merasai nikmat kebahagian selama satu tahun tujuh bulan sahaja.
Kisah perkahwinan Syamsul dan Ira Kazar menemui noktahnya apabila Mahkamah Rendah Syariah mengesahkan mereka berdua bercerai talak satu pada Khamis lalu.
Kisah rumah tangga Syamsul memang mendapat liputan meluas bukan sahaja media-media dalam talian dan sosial, malah media arus perdana juga ghairah melaporkan apa yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini.
Sama-sama doakan yang terbaik
Bagi media, kisah-kisah kahwin dan cerai individu-individu popular ini sudah lumrah sejak puluhan tahun lalu dan sentiasa mendapat perhatian pembaca.
Lebih-lebih lagi kalau kisah tersebut dirahsiakan daripada pengetahuan umum atas sebab-sebab yang terlalu peribadi, namun semakin ia menjadi satu misteri, selagi itulah orang akan sentiasa bertanya dan terus bertanya.
Sebab itulah, tindakan Sanusi menjawab segala persoalan tentang perkahwinan beliau telah menutup segala tanda tanya dan ia bukan lagi satu rahsia.
Lagipun, dalam Islam memang tidak salah untuk seorang lelaki berkahwin lebih daripada seorang, jadi kisah beliau sudah bukan satu berita sensasi lagi.
Maka oleh sebab itu, kita semua kenalah mendoakan agar perkahwinan yang dibina itu akan berkekalan sehingga ke dalam syurga.
Begitulah juga perihal yang berlaku kepada Syamsul, dan kita juga harap beliau menemui kebahagiaan yang dicari.
* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!