Data analitik, AI kesan pola penipuan

Laporan Sinar Harian mengenai kartel tipu tuntutan PERKESO.
Laporan Sinar Harian mengenai kartel tipu tuntutan PERKESO.
A
A
A

ALOR SETAR - Beberapa pembaharuan boleh dilaksanakan bagi memastikan tuntutan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dapat disalurkan kepada individu benar-benar layak.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, antara langkah yang disarankan ialah mengadakan audit berkala terhadap proses kelulusan oleh Jemaah Doktor (JD) melibatkan pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, ini termasuk semakan silang dokumen dan pengesahan data perubatan penerima tuntutan.

“Penambahbaikan ini perlu bagi mengelak penipuan, seterusnya bantuan sampai kepada pemohon yang benar-benar memerlukan tanpa berlaku kelewatan akibat penipuan,” katanya kepada Sinar Harian.

Kamarul Zaman berkata, teknologi seperti data analitik dan kecerdasan buatan (AI) juga boleh dimanfaatkan untuk mengenal pasti pola penipuan.

“Sistem ini boleh membantu dalam mengesan anomali dan petunjuk penipuan yang mungkin terlepas pandang dalam pemeriksaan manual.

“Sistem pemberian maklum balas cepat juga boleh diperkenalkan bagi menilai dan mengesahkan tuntutan dengan pantas tanpa mengorbankan ketelitian. Ini termasuk mengadakan kolaborasi bersama agensi kerajaan lain untuk pengesahan data,” ujarnya.

Jelasnya, terdapat keperluan untuk mengubah proses dalaman PERKESO dengan menggunakan pendekatan risiko berasaskan bukti.

“Proses semasa yang menganggap semua kes sebagai genuine perlu dirombak kepada pendekatan lebih bersifat bukti di mana setiap kes diperiksa secara terperinci dan dianggap sebagai berpotensi palsu sehingga dibuktikan sebaliknya,” jelasnya.

Kamarul Zaman percaya tuntutan palsu mahupun penipuan hanya akan mengganggu hak penerima yang sah untuk menerima faedah tepat pada masanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dilaporkan berkata, SOP bagi tuntutan faedah termasuk Hilang Upaya Kekal (HUK) PERKESO akan dirombak bagi membendung penyelewengan tuntutan palsu berulang.

Ia susulan kes penahanan 33 individu termasuk tiga doktor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menerusi Op Tunjang bersama agensi berkenaan berkaitan kartel penipuan tuntutan hilang upaya melibatkan RM2.1 juta.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!