Beritahu anak lima bahagian tubuh dilarang sentuh

Foto sumber KPWKM
Foto sumber KPWKM
A
A
A

SHAH ALAM - Ibu, bapa atau penjaga perlu mendedahkan kepada anak perempuan mereka berkenaan lima bahagian tubuh yang dilarang disentuh oleh individu lain.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengingatkan perkara itu sebagai langkah melindungi kanak-kanak daripada dieksploitasi serta menjadi mangsa gangguan seksual.

"Lima bahagian badan ini termasuklah mulut, kawasan antara paha, punggung, dada dan bahagian kemaluan.

"Sentuhan selamat dan tidak selamat perlu menjadi pengetahuan asas bagi setiap kanak-kanak. Ibu, bapa, guru-guru, jiran tetangga dan seluruh lapisan masyarakat perlu memainkan peranan bersama-sama," kata KPWKM menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

KPWKM turut memberi panduan langkah yang perlu diambil kanak-kanak sekiranya terdapat individu menyentuh pada lima bahagian tubuh berkenaan.

"Jerit 'jangan' dengan kuat, lari ke tempat yang ramai orang dan beritahu perkara itu kepada individu yang dipercayai," katanya.

KPWKM berkata, kementerian itu melalui Jabatan Pembangunan Kanak-kanak (JPKK) memandang serius isu berkaitan kanak-kanak.

Tambahnya, tindakan sewajarnya akan diambil jika terdapat perilaku yang boleh mengancam keselamatan kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini tular seorang pemandu bas sekolah yang memuat naik video dan menyiarkan gambar kanak-kanak dibawanya menerusi aplikasi TikTok.

Susulan itu, polis telah menahan pemandu bas berusia 24 tahun itu di Simpang Renggam, Kluang selain merampas telefon bimbit dipercayai digunakannya untuk siasatan lanjut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!