Indonesia evakuasi warga dari China, dikuarantin di Pulau Natuna
JAKARTA - Indonesia hari ini mengevakuasi 238 warganya dari wilayah Hubei, China dan menempatkan mereka di Pulau Natuna bagi menjalani proses kuarantin selama 14 hari.
Pesawat komersial penerbangan Batik Air yang membawa warga Indonesia dari Wuhan itu mendarat di Lapangan Terbang Hang Nadim, Pulau Batam kira-kira jam 8.45 pagi waktu Indonesia Barat.
Beberapa media tempatan melaporkan kesemua mereka kemudiannya diterbangkan dengan menggunakan tiga pesawat tentera ke Pulau Natuna, Provinsi Kepulauan Riau yang terletak di Laut China Selatan.
Mereka ditempatkan di pangkalan udara tentera Indonesia di Pulau Natuna yang dilaporkan lengkap dengan pelbagai kemudahan serta akan menjalani pemeriksaan dan pemantauan kesihatan selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang bertemu keluarga mereka.
Untuk rekod, setakat ini belum terdapat kes jangkitan wabak koronavirus di Indonesia.
"Semua mereka dilaporkan sihat, bebas dari jangkitan. Kerajaan China juga menetapkan hanya mereka yang sihat sahaja dibenarkan keluar dari wilayah yang terkena wabak itu," kata Menteri Kesihatan Indonesia, Terawan Agus Putranto yang dipetik beberapa media tempatan hari ini.
Khamis lepas, Presiden Indonesia Joko Widodo dilaporkan mengarahkan rakyatnya di Wuhan dan Wilayah Hubei dibawa pulang ke Indonesia susulan jangkitan koronavirus yang semakin membimbangkan itu. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Kematian di China meningkat kepada 304
Jumlah kematian akibat wabak koronavirus baru di Hubei meningkat sebanyak 45 kes, menjadikan jumlah keseluruhan 304 kes setakat Sabtu (1 Februari) malam, menurut laporan televisyen China.
Hubei, di mana virus tersebut bermula, mencatatkan 1,921 kes tambahan, menjadikan kesemuanya 9,074 jangkitan di wilayah itu.
Di seluruh negara itu, jumlah jangkitan setakat ini telah melebihi 14,300 kes, menurut laporan agensi berita CNA.
Kebanyakan kes kematian dan jangkitan virus yang dinamakan 2019-nCoV itu dilaporkan di Hubei, sebuah wilayah di tengah China yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.
Pada Jumaat, seorang pegawai tinggi kerajaan di Wuhan, bandar yang mempunyai 11 juta penduduk di mana kes pertama dilaporkan pada Disember 2019, melahirkan kekesalan karena pihak berkuasa tempatan didakwa bertindak terlalu lambat.
ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Filipina catat kematian pertama luar China
Filipina melaporkan kes kematian pertama koronavirus di luar China yang telah meragut lebih 300 nyawa dan merebak di lebih 20 negara seluruh dunia.
Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Manila, Rabindra Abeyasinghe berkata, mangsa ialah rakyat China dari bandar Wuhan yang menjadi pusat penyebaran wabak membawa maut itu.
"Pesakit tersebut meninggal dunia di sebuah hospital di Manila dan dia tiba di negara itu bersama seorang wanita dari China yang juga disahkan positif koronavirus tersebut," kata Setiausaha Kesihatan Filipina, Francisco Duque.
Menurutnya, wanita tersebut adalah kes pertama koronavirus yang dilaporkan di Filipina dan kini sedang dirawat di hospital.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Manila turut mengumumkan ia akan menyekat kemasukan rakyat China mengikut jejak langkah Amerika Syarikat, Australia dan Israel.
Ketika ini, Mongolia, Rusia dan Nepal juga bertindak menutup sempadan mereka manakala Papua New Guinea melarang kemasukan mana-mana individu daripada pelabuhan atau lapangan terbang dari seluruh Asia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!