Aktivis wanita Amerika-Turkiye maut ditembak tentera Israel di Tebing Barat
TEBING BARAT - Seorang wanita Amerika-Turkiye berusia 26 tahun ditembak mati oleh tentera Israel di Tebing Barat yang diduduki semasa protes pada Jumaat.
Aysenur Ezgi Eygi, yang merupakan warganegara Amerika Syarikat (AS) dan Turkiye merupakan antara peserta yang mengambil bahagian dalam demonstrasi terhadap pembesaran penempatan Yahudi di bandar Beita dekat Nablus.
Eygi didakwa ditembak oleh tentera Israel, menurut laporan media tempatan.
Angkatan Pertahanan Israel (IDF) berkat, mereka "meneliti laporan seorang warga asing terbunuh akibat tembakan di kawasan itu."
Seorang peserta demonstrasi itu memberitahu BBC itu merupakan kali pertama Eygi menghadiri protes sedemikian.
Kematian Eygi sangat dikesali Setiausaha Negara AS, Antony Blinken dan menyifatkannya sebagai "kehilangan tragis" sementara Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pula melabel tindakan Israel itu sebagai "biadab."
Kementerian Luar Turkiye berkata, Eygi "dibunuh oleh tentera pendudukan Israel di bandar Nablus."
Dalam reaksi yang sama, White House tidak menyalahkan apa yang berlaku, tetapi menyeru Israel untuk melakukan siasatan.
Terdahulu, jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller berkata. Washington "segera mengumpul lebih banyak maklumat mengenai keadaan kematian Eygi."
Menurut laporan media Turkiye, Eygi dilahirkan di Antalya dan mangsa yang mempunyai dua kewarganegaraan itu dikejarkan ke sebuah hospital di Nablus sebelum disahkan meninggal dunia.
Sementara itu, Ketua Hospital Rafidia, Dr Fouad Nafaa mengesahkan, seorang warga AS berusia pertengahan 20-an meninggal dunia akibat "tembakan di kepala."
Dalam satu kenyataan, IDF berkata: "Hari ini (Jumaat), semasa aktiviti pasukan keselamatan Israel bersebelahan dengan kawasan Beita, tentera bertindak balas dengan tembakan ke arah peserta aktiviti ganas yang membaling batu ke arah pasukan dan menimbulkan ancaman kepada mereka.
"IDF sedang meneliti laporan bahawa seorang warga asing terbunuh akibat tembakan yang dilepaskan di kawasan itu. Butiran kejadian dan keadaan di mana dia dipukul sedang dikaji."
Jonathan Pollak, seorang aktivis Israel yang berada di pusat perhimpunan yang sama dengan Eygi, berkata, dia mendengar "dua tembakan berasingan peluru hidup, ditembak satu demi satu... dan kemudian saya mendengar satu lagi tembakan".
"Saya dapati dia (Eygi) terbaring di tanah, di sebelah pokok... berdarah dari kepalanya," kata Pollak kepada agensi berita AFP, sambil menunjukkan darah di tangan yang digunakannya untuk menghentikan pendarahan di kepala Eygi.
“Saya ambil nadinya, nadinya sangat lemah, kami hubungi ambulans.
"Dari situ kami memindahkannya ke pusat perubatan kampung, di mana doktor masuk ke dalam ambulans dan terus masuk ke hospital, di mana mereka cuba menyelamatkannya tetapi gagal."
Pollak berkata, insiden terbaharu ini "kini mendapat perhatian kerana mangsa seorang warganegara Amerika."
Dalam temu bual dengan program Newshour BBC, Pollak ditanya mengenai kenyataan IDF, di mana tentera Israel berkata pasukan keselamatan bertindak balas kepada "penghasut utama yang membaling batu ke arah pasukan dan menimbulkan ancaman kepada mereka."
Pollak berkata, terdapat pertempuran di lokasi berkenaan, tetapi "tentera (Israel) tidak berada di bawah ancaman."
Bahkan, katanya lagi, lokasi Eygi ditembak adalah "kejadian berasingan di tempat yang berasingan," sambil menambah bahawa "tiada kejadian baling batu" di tempat mangsa berada seperti didakwa tentera Zionis. - Agensi/Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!