Masalah pengairan: Pesawah terpaksa jual jentera tuai padi tampung hidup

Pesawah akui terpaksa menjual menjual jentera menuai padi ekoran masalah pengairan sawah.
Pesawah akui terpaksa menjual menjual jentera menuai padi ekoran masalah pengairan sawah.
A
A
A

KOTA BHARU - Masalah pengairan sawah dihadapi lebih 7,000 pesawah di negeri ini makin meruncing hingga menyebabkan ada antara mereka terpaksa menjual jentera menuai padi dan traktor pembajak.

Pesawah, Muhammad Nuraisar Mat Yajit, 37, berkata, kerugian itu dialami apabila tidak dapat menanam padi di tanah seluas 28.3 hektar pada musim pertama lalu akibat ketiadaan air di tanah sawahnya di Selising, Pasir Puteh.

Menurut Muhammad Nuraisar, dia juga terpaksa melakukan pekerjaan lain seperti buruh binaan, menanam jagung dan terung bagi menampung kos sara hidup bersama isteri dan enam anak mereka.

“Musim kedua, tahun lepas, saya dah rugi hampir RM200,000 kerana padi rosak akibat kemarau dan musim pertama bermula Mei tahun ini pula lebih teruk sebab tidak dapat menanam akibat tidak ada air langsung.

“Tambah menyedihkan, satu jentera menuai padi dan dua traktor pembajak milik saya sudah dijualkan untuk mendapatkan wang belanja,” katanya kepada pemberita ketika ketika ditemui menyertai perhimpunan aman bersama kira-kira 100 pesawah di hadapan Rumah Pam Utama Kemubu, Ketereh di sini pada Jumaat.

Dari kiri; Muhammad Nuraisar, Nordin dan Mohd Noor.
Dari kiri; Muhammad Nuraisar, Nordin dan Mohd Noor.

Sementara itu, pesawah, Mohd Noor Daud, 53, menyuarakan rasa kecewa dengan masalah tersebut kerana menanam padi menjadi satu-satunya punca pendapatan untuk menyara keluarga selain menyifatkan keadaan itu paling buruk berlaku sejak 10 tahun lalu.

Akuinya, dia juga terpaksa ‘mengorek tabung’ mengeluarkan wang simpanan bagi menjelaskan hutang modal benih padi berjumlah RM10,000 dengan sebuah bank yang dibuat bagi penanaman padi di bendang seluas 12.14 hektar pada musim lalu.

Artikel Berkaitan:

“Wang yang ada ini tidak tahu sampai boleh dapat bertahan, makin lama makin habis sebab taklah banyak pun, itulah yang digunakan untuk tampung anak sekolah, makan minum dan juga bayar hutang.

“Bukan mengungkit atau mencari salah sesiapa, tetapi kami hanya merayu supaya pihak atasan membela nasib kami ini,” katanya.

Justeru, seorang lagi pesawah, Nordin Daud, 62, menyarankan kerajaan untuk menumpukan lebih banyak peruntukan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi petani dalam proses menanam padi.

“Berbanding memberi insentif kepada petani, adalah lebih baik wang itu digunakan untuk menyelesaikan masalah pengairan sawah padi.

“Jika dibiar masalah ini berlarutan lebih lama, tidak mustahil dalam tempoh lima tahun akan datang, tiada lagi petani padi di Kelantan seterusnya sumber makanan dan hasil padi berkurang selain kebergantungan kepada beras import,” katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan, Persatuan Pesawah-pesawah Kelantan menuntut janji peruntukan RM20 juta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipercepatkan bagi pembelian 20 pam air untuk menyelesaikan masalah pengairan sawah padi melibatkan lebih 7,000 petani di negeri ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!